2299) AWANI – 19/12/2014 – Biar Pihak Berkuasa Jalankan Tugas Siasatan Ke Atas BFM 89.9 – Presiden ISMA
31 Dec 2014
Abdullah Zaik Abd. Rahman berkata, mereka menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan menyeluruh. – Gambar Fail
KUALA LUMPUR: Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Abdullah Zaik Abd. Rahman berkata, mereka menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan menyeluruh berkaitan laporan polis mengenai kandungan program bual bicara stesen radio bisnis BFM 89.9 yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama.
“Jika mereka menafikan hal tersebut, kita biarlah pihak polis menjalankan proses siasatan terhadap perkara ini,” ujar beliau sebagai mengulas reaksi pihak stesen radio BFM yang menafikan hal tersebut hari ini.
BFM membuat kenyataan rasmi sebagai maklum balas terhadap laporan polis yang difailkan oleh gabungan sembilan badan bukan kerajaan (NGO) di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi semalam.
Pengarah Urusan BFM Media Sdn. Bhd., Malek Ali memberitahu bahawa penyampai radio Sharaad Kuttan yang didakwa membincangkan isu daging korban dan hak Melayu pada jam 7 hingga 8 pagi pada tarikh berkenaan sebenarnya berbicara tentang Piala AFF Suzuki dan hal-hal lain yang tidak berkaitan.
“Tuduhan kedua yang menyatakan bahawa penyampai Umapagan Ampikaipakan, Caroline Oh, Patrick Teoh dan Ezra Zaid membincangkan isu berkaitan agama Islam dan pemakaian tudung pada jam 6 petang hari yang sama, juga tidak benar,” katanya.
Malek mengesahkan, berdasarkan rekod, pada tarikh dan waktu berkenaan, pihak stesen radio itu menyiarkan program bertajuk Today in World History (Hari Ini Dalam Sejarah Dunia).
Dia turut memberitahu, laporan polis yang dibuat terhadap lima penyampai dan penerbit radio terbabit tiada kaitan dengan kes denda yang dikenakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengenai program temu bual dengan tokoh akademi, Reza Aslan pada Oktober tahun lalu.
“Dakwaan seperti yang dinyatakan dalam laporan polis tersebut adalah tidak tepat dan tidak berasas. Walau bagaimanapun, pihak BFM 89.9 akan memberi kerjasama dengan pihak berkuasa dalam proses siasatan,” ujarnya.
Semalam, gabungan sembilan NGO itu diketuai Pegawai Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Mohd Mustaffa Hamzah mendakwa, program bual bicara berkenaan mempunyai elemen menghina dan menghasut Islam dan menggesa agar lima penyampai radio terbabit disiasat di bawah Akta Hasutan.
“Kes ini sudah menjadi kes umum. Kita tunggulah saja hasil siasatan nanti,” ujar Abdullah.
Dalam pada itu, salah seorang penyampai radio berkenaan, Ezra Zaid ketika dihubungi Astro AWANI tidak mahu mengulas lanjut tentang perkara tersebut dan sekadar berharap hal itu akan melalui proses yang betul.
Post Views: 150