KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) — Pengguna perlu segera membuat aduan
berserta bukti kukuh mengenai harga makanan yang dijual mahal untuk
menangani peniaga yang mengambil kesempatan daripada bencana banjir yang
melanda negara, baru-baru ini.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional
(NCC) Muhammad Shaani Abdullah berkata pengalaman seorang wartawan
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang terpaksa membayar
RM23 untuk sepinggan nasi berlaukan ikan kembung goreng, sayur kacang
panjang dan segelas air teh panas harus diambil iktibar oleh semua
pihak, khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal
Pengguna (KPDNKK).
Dalam laporan berita Bernama pada 1 Jan lepas, wartawan berkenaan
Zabidi Ishar terkejut apabila perlu membayar harga makanan hampir lima
kali ganda daripada harga biasa iaitu sekitar RM5, selepas mengalas
perut di sebuah kedai makan di Tanah Merah, Kelantan.
Menurut Zabidi, peniaga itu memohon maaf kepadanya dan memberi alasan
kesukaran mendapatkan bahan mentah dan terpaksa ke Kota Baharu, yang
terletak kira-kira 70 km dari Tanah Merah, untuk mendapatkan bekalan.
Muhammad Shaani berkata semua pihak perlu memainkan peranan bagi
memastikan kejadian menjual makanan dengan harga yang melampau tidak
berulang pada masa depan khususnya ketika seluruh negara dilanda bencana
banjir.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
(KPDNKK) perlu bertindak proaktif dalam menangani peniaga yang mengambil
kesempatan dengan menaikkan harga makanan dan barangan harian sekarang.
“Sekiranya perlu, anggota KPDNKK perlu melakukan penyamaran bagi
memastikan peniaga tidak sewenang-wenangnya meletakkan harga sesuka hati
dan secara tidak langsung membuli pengguna,” katanya ketika dihubungi
Bernama di sini malam ini.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim
Johan berkata KPDNKK perlu bertindak tegas dan bertindak secara proaktif
dan tidak hanya menunggu aduan daripada pengguna.
“Apa yang berlaku sekarang ialah orang ramai termasuk penguat kuasa
pihak berkuasa tempatan sedang sibuk kerana bencana banjir sehingga
penjualan harga makanan dan barangan harian tidak dikawal menyebabkan
peniaga mengambil ‘peluang keemasan’ mencari keuntungan segera,”
katanya.
Justeru, semua pihak perlu peka dengan keadaan sekeliling dan membuat
tindakan sewajarnya agar golongan peniaga yang tidak bertanggungjawab
ini tidak ‘membuli’ pengguna dengan meletakkan harga yang melampau.
— BERNAMA
Sumber : http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/newsindex.php?id=1097968