2379) THE RAKYAT POST – 13/01/2015 – Kerajaan Diminta Kaji Semula ‘Caj Terlindung’
16 Jan 2015
Nadzim Johan mencadangkan kepada kerajaan supaya satu akta atau undang-undang diwujudkan untuk meregulasikan caj tersebut.
KUALA LUMPUR, 13 Januari:
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mahu kerajaan mengambil serius caj yang dikenakan oleh peniaga kepada pengguna yang disifatkannya sebagai mengarut dan tidak munasabah.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan peniaga mengena ‘caj terlindung’ ini merupakan satu bentuk penipuan dan telah menganiaya para pengguna.
“Bukan kenaikan harga musim banjir sahaja, ini kenaikan atau caj yang dikenakan oleh para peniaga yang kita tidak sedar, yang tidak munasabah.
“Kalau kita tengok perkara yang biasa di kompleks beli-belah, hilang kad parking denda RM100, saya tidak tahu kenapa RM100, kenapa tidak caj RM1,000 atau RM10,000, cepat sikit kaya.
“Soalnya siapa yang membenarkan mereka meletak caj ini yang kita lihat tidak munasabah dan begitu tinggi,” soalnya dalam satu sidang media di pejabat PPIM di sini.
Sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan kepada kerajaan supaya satu akta atau undang-undang diwujudkan untuk meregulasikan caj tersebut.
“Mungkin perlu ada kaedah atau kebenaran dan mungkin kita mohon KPDNKK (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan) untuk membantu mengkoordinasikan caj-caj ini.
“Kita minta pihak kerajaan melaksanakan satu kaedah untuk meregulasikan caj, mungkin tubuh suruhanjaya meregulasikan caj atau apa sahaja. Kena ada sesuatu yang boleh melindungi pengguna,” tegasnya.
Selain itu, Nadzim juga meminta masyarakat tidak lagi terus berdiam diri dan menggunakan kuasa pengguna bagi menekan peniaga yang sering mengambil kesempatan selama ini.
“Kita perlu menukar sikap dan pengguna perlu bangkit. Mungkin dalam masa terdekat ini kita akan adakan kempen perangi penipuan.
“Pengguna perlu bersatu membongkar penipuan yang tidak masuk akal ini yang seharusnya tidak terjadi dalam masyarakat kita.
“Pengguna kena bangkit dan tidak dibiarkan terus diperlekehkan dengan caj yang amat membebankan kita,” ujarnya.
Post Views: 144