Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2393) ASTRO AWANI – 17/01/2015 – Skim Cepat Kaya Bertopengkan Emas
17 Jan 2015

KUALA LUMPUR: Ahmad (bukan nama sebenar) mula
berkenalan dengan seorang ejen pelaburan emas yang kebetulan adalah
salah seorang pelanggan perniagaan barangan elektronik miliknya.

Kemewahan hidup ejen berkenaan menarik minat Ahmad untuk menceburi skim
pelaburan emas yang semakin popular sejak kebelakangan ini.

“Saya melihat ejen itu setiap bulan membeli barangan elektrik melalui keuntungan jual beli emas beli.

“Sebulan dia boleh beli TV, bulan depan dia beli laptop. Jadi saya rasa
ketika itu, keuntungannya adalah berbaloi kalau saya masuk dan dapat
imbuhan setiap bulan,” kata Ahmad ketika dihubungi Astro AWANI.

Sejak daripada itu, dia telah melabur wang simpanannya untuk nilai 2 kilogram emas.

Malangnya, keuntungan yang dinikmati hanya seketika apabila dia cuma menerima imbuhan pelaburan untuk dua bulan pertama.

“Sejak Disember tahun lalu, syarikat pengelola telah berhenti memberi imbuhan atas alasan syarikat bertukar konsep.

“Salah satu ingin mengemas kini syarikat kepada Sdn Bhd agar lebih
kukuh. Jadi semua pemberian imbuhan perlu ditangguh dahulu,” keluh
Ahmad.

Sejak itu, Ahmad telah berjumpa dengan ejen berkenaan serta syarikat pengelola, namun masih tidak membuahkan sebarang hasil.

Kos kerugian yang terpaksa ditanggung kini mencecah RM200,000.

Kisah Ahmad adalah antara 5,000 pengguna seluruh Malaysia yang
dipercayai terbabit dalam skim pelaburan emas dengan jumlah kerugian
dianggar mencecah RM500 juta.

Di sebalik keghairahan mengejar
kemewahan, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menasihati orang
ramai agar berhati-hati supaya tidak terjebak dengan penipuan skim
pelaburan emas yang semakin berleluasa kebelakangan ini.

PPIM
turut menerima beberapa aduan pengguna yang tertipu dengan skim itu,
sehingga mengakibatkan kerugian mencecah puluhan juta ringgit.

Menurut Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, antara aduan yang
diterima adalah seperti kes Ahmad di mana syarikat terbabit didakwa
tidak membayar pulangan pelaburan sepertimana dijanjikan.

“Bila syarikat tidak bayar, pelabur akan pergi cari mereka. Pelabur akan ugut nak lapor polis dan Bank Negara.

“Syarikat itu kata kalau report, mereka langsung tak akan dapat duit. Itu alasan yang digunakan untuk terus menipu,” kata Nadzim pada sidang media di ibu negara.

Bank Negara Malaysia di laman webnya turut menyenaraikan 197 syarikat pelaburan yang tidak diiktiraf dalam senarai berjaga-jaga.

Menurut Jawatankuasa Biro Pendidikan PPIM, Mohd Nor Izzat Johari,
daripada jumlah itu, dianggarkan 30 peratus terdiri daripada syarikat
skim pelaburan emas.

Setakat ini, PPIM sudah mengenal pasti tiga syarikat yang terbabit dalam skim penipuan.

“Tiga syarikat ini kita dah ada aduan. Kita dah buka fail. Sampai
sekarang pengelola atau bos dia cuba menghilangkan diri, tetapi
Insyaallah dengan kerjasama masyarakat yang ada, mereka akan bantu beri
maklumat.” kata Izzat.

Modus operandi skim pelaburan emas ialah
pihak penganjur atau pengelola akan melantik wakil atau ejen untuk
melaksanakan proses jual beli dengan pelanggan.

Menurut Pegawai
Kerja PPIM, Mohd Mustaffa Hamzah, antara dua skim pelaburan yang wujud
adalah menjual emas kepada pelanggan dengan harga lebih tinggi daripada
pasaran untuk mendapat imbuhan secara bulanan.

Selain itu, jual
emas secara “Estimate Time Arrival” (ETA) yang mengenakan syarat
pelanggan perlu membuat bayaran dahulu sebelum menerima emas dalam
tempoh tertentu.

“Pelanggan melabur dalam bentuk wang beli 100g
emas pada harga pasaran atau lebih rendah daripada itu, tetapi
dijanjikan fizikal emas tersebut dapat dalam tempoh 7 hari, 14 hari dan
30 hari.

“Malangnya apabila tiba masa emas perlu diberikan keapda mereka, mereka tidak menerima emas tersebut,” kata Mustaffa.

Kebanyakan syarikat pengelola juga didapati berselindung di sebalik
ejen yang menjadi orang tengah, sekali gus mendedahkan mereka kepada
risiko bila imbuhan dan barangan tidak diterima pelanggan.

Mengakui tidak membuat semakan latar belakang terhadap syarikat
pengelola skim pelaburan emas, Ahmad kini belajar daripada
kekhilafannya, satu pengajaran yang dikira cukup mahal agar tidak mudah
terpedaya dengan sebarang janji skim pelaburan.

“Saya
nasihatkan sekiranya ada apa-apa skim pelaburan, ia harus dibuat secara
terus dan bukan melalui ejen dan ia perlu berkonsepkan pertukaran
barangan dengan tunai secara serentak untuk mengelakkan sebarang
kemungkinan berlaku penipuan.”

Sumber : http://www.astroawani.com/news/show/skim-cepat-kaya-bertopengkan-emas-52328