Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2413) UTUSAN – 5/12/15 – JURURAWAT HOSPITAL SWASTA DAKWA DIBERHENTI KERANA TUTUP AURAT
05 Dec 2015

KUALA LUMPUR 4 Dis. – Seorang jururawat di sebuah hospital
swasta di ibu negara mendakwa diberhentikan kerja tanpa sebarang notis oleh
pihak pengurusan hanya ke­rana tindakannya memakai pakaian yang menutup aurat.

Naziah Suani Samat, 24, men­dakwa, pihak pengurusan
hospital tersebut tidak membenarkan petugas beragama Islam khususnya jururawat
memakai tudung serta lengan panjang ketika bertugas.
Menurut gadis berasal dari Sarawak itu, pihak hospital turut
mengeluarkan kata-kata kesat malah mengugut akan memecat mereka sekiranya
bertegas untuk tidak memakai uniform lengan pendek dan hanya mengenakan anak
tudung semasa bekerja.
Dakwanya, rata-rata petugas di hospital tersebut perlu
membuka tudung dan memakai uniform le­ngan pendek atas alasan kebersihan
padahal isu itu tidak patut dibangkitkan kerana terdapat prosedur perlu
dituruti semasa bertugas.
“Pihak hospital tidak pernah memaklumkan saya berhubung
etika berpakaian semasa menawarkan pekerjaan kepada saya. Malah, mengapa
setelah dua bulan saya bekerja iaitu dari bulan September 
baru pihak hospital
memberitahu berhubung tatacara berpakaian.
“Saya tertekan dengan tindakan pihak hospital yang tidak
membenarkan saya bekerja selama dua hari iaitu pada 1 dan 2 Disember lepas dan
semalam, saya diberitahu tanpa sebarang surat bahawa saya diberhentikan. Itu
tidak adil,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Naziah Suani berkata demikian dalam sidang akhbar oleh
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berhubung tindakan diskriminasi agama
yang dilakukan oleh hospital swasta tersebut.
Dakwanya, ada rakan sekerja yang terpaksa membuka tudung
semasa bertugas kerana tidak tahan berhadapan dengan tekanan akan diberhentikan
perkhidmatan oleh pihak pengurusan.
“Pihak pengurusan turut meng­ugut akan menggantung sijil
perakuan pengalaman tahunan (APC) saya dan tanpa sijil itu, saya tidak akan
dapat memohon sebarang jawatan sebagai seorang jururawat,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim
Johan
 berkata, pihak bertanggungjawab seperti Kementerian Kesihatan,
Jabatan Ke­majuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Sumber 
Manusia perlu
memantau isu diskriminasi agama tersebut.
“Perkara seperti ini walaupun kecil pada pandangan
sesetengah pihak namun percayalah, akhir­nya mampu mencetuskan polemik
perkauman yang mampu mengganggu gugat keharmonian negara.
“Kita akan ambil tindakan undang-undang terhadap pihak
hospital berkenaan dan laporan polis telah dibuat. Kita mahukan keadilan bagi
wanita Islam supaya tidak didiskriminasikan dalam mana-mana organisasi,” katanya.