KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) — Penjawat awam kini dilihat menjadi sasaran utama pihak tertentu dalam kes-kes penipuan melibatkan skim pinjaman perumahan dan perniagaan.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata berdasarkan laporan yang diterima pihaknya, sebanyak 60 peratus mereka yang menjadi mangsa dalam kes sedemikian melibatkan penjawat awam.
“Mereka yang tidak bertanggungjawab ini menjadikan penjawat awam sebagai sasaran kerana golongan ini dilihat mudah mendapatkan pinjaman kewangan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media Kempen Perangi Penipu di sini, pada Khamis.
Kempen Perangi Penipu yang akan berjalan sepanjang 2015 itu digerakkan oleh PPIM dengan kerjasama Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bertujuan menghakis gejala penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab terhadap pengguna.
Beliau berkata ramai penjawat awam yang terdiri daripada golongan muda turut menjadi mangsa penipuan pihak tertentu.
“Kita sedia maklum ramai yang berkeinginan tinggi untuk memiliki aset persendirian seperti rumah, kereta dan memulakan perniagaan tetapi perlulah berhati-hati dan menyemak latar belakang pihak berkaitan (pihak pemaju, pinjaman kredit) agar tidak mudah diperdaya,” katanya.