2449) UTUSAN MALAYSIA – 18/12/15 – HARAMKAN SEMUA PRODUK TEMBAKAU – PPIM
18 Dec 2015
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, ini kerana memandangkan rokok adalah antara produk yang memberi implikasi negatif kepada kesihatan pengguna, pengharamannya perlu dibuat seperti mana rokok elektronik atau vape.
“Jika benar kerajaan ingin seluruh negara mengharamkan vape atas faktor kesihatan, kita turut cadangkan supaya haramkan rokok sekali.
“Walaupun begitu, tindakan pengharaman boleh dilakukan secara berperingkat dan bukannya dalam keadaan tergesa-gesa seperti yang dilakukan ke atas vape,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, kerajaan Pas Kelantan membuat keputusan muktamad mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape di negeri itu berkuat kuasa 1 Januari ini mengikut jejak kerajaan negeri Johor.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, tindakan tegas kerajaan mengharamkan vape turut boleh diaplikasikan terhadap penjualan rokok.
“Ramai peniaga sedang marah dengan keputusan mengosongkan premis dalam 14 hari seperti diumumkan kerajaan Pas Kelantan tetapi saya percaya mereka masih boleh membuat pertimbangan wajar tentang arahan tersebut.
“Dari satu sudut lain, saya menyokong usaha kerajaan ini kerana isu penggunaan vape sudah berada pada tahap yang sukar dikawal, lebih-lebih lagi apabila ramai anak muda menggunakannya atas tiket trend zaman sekarang,” katanya.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, pihaknya tidak ingin mengulas lanjut perkara itu memandangkan isu ini sudah menjadi semakin kritikal.
“Ikhlas akan mengadakan satu sidang akhbar khas bersama pengusaha vape tentang isu ini,” katanya.
Post Views: 138