Menurut beliau lagi, kalangan pemborong dan peniaga tidak sepatutnya mengambil kesempatan mengaut keuntungan tinggi tanpa memikirkan nasib pengguna yang perlu menanggung bebanan kewangan lain.
Malah setelah dua kali pihak sebelum ini kerajaan bertindak menurunkan harga petrol dan diesel berikutan penurunan harga minyak mentah dunia, belum ada tindakan drastik daripada golongan ini untuk menurunkan harga barangan terutama barangan keperluan seharian.
Mereka seolah-olah berdegil dan tidak mempedulikan gesaan pengguna supaya berkompromi menurunkan harga barangan demi kemaslahatan bersama.
Kelmarin harga runcit petrol turun lagi. RON95 sudah sudah diturunkan sebanyak 21 sen seliter kepada RM1.70 seliter mengikut kaedah pengapungan terkawal manakala harga runcit petrol RON97 pula diturunkan sebanyak 11 sen seliter kepada RM2 seliter. Diesel pula diturunkan sebanyak 23 sen seliter kepada RM1.70 seliter,
Maka, penulis merasakan sudah tiba masanya pihak kerajaan bertegas dalam perkara ini demi menjaga kepentingan rakyat sesuai dengan slogan ‘Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan’.
Mekanisme pengapungan harga minyak terkawal yang diperkenalkan oleh kerajaan kemungkinan elok juga dijadikan asas kepada pengawalan harga barangan keperluan harian agar ia seiring dengan situasi dan kehendak pasaran semasa. Dalam erti kata lain apabila harga minyak mengalami penyusutan harga barangan keperluan juga akan ikut menurun.
Dalam hal ini kajian dan penyelidikan terperinci boleh diusahakan oleh pakar ekonomi dan ahli akademik tempatan yang berlatar belakangkan pengajian ekonomi dan kewangan sehingga cadangan penyelesaian yang bernas dapat disalurkan kepada pihak kerajaan dalam usaha menangani isu ini daripada terus berlarutan.
Dicadangkan juga agar pihak kerajaan campur tangan dan terus menerus mengadakan perbincangan dua mata bersama wakil pengeluar dan pemborong supaya jalan penyelesaian terbaik dapat diusahakan.
Malah ia merupakan antara tanggungjawab utama yang perlu dimainkan oleh pihak kerajaan bagi mengawal tindakan pihak-pihak tertentu mengaut keuntungan lumayan ketika kos operasi dan logistik barangan semakin berkurangan.
Adalah sesuatu yang tidak adil apabila golongan peniaga terus tersenyum gembira mengaut keuntungan perniagaan yang berlipat kali ganda sedangkan pengguna terpaksa menanggung kos barangan yang semakin meningkat pada saat ia tidak sepatutnya berlaku.
Begitu pelik, harga barang boleh dinaikkan dengan sekejap sahaja di pasaran apabila harga petrol diumumkan naik, tetapi apabila diumumkan turun, walaupun sudah banyak kali, harga barang tetap begitu juga. Tiada tanda-tanda penurunan akan dilakukan.
Penulis juga mengharapkan agar penyedia-penyedia perkhidmatan turut sama mengambil inisiatif mengurangkan kos perkhidmatan yang ditawarkan berbanding suatu ketika dahulu di mana semuanya berebut-rebut menaikkan caj perkhidmatan masing-masing disebabkan kenaikan harga minyak dunia.
Terdapat pula pihak-pihak tertentu yang sebelum ini begitu lantang mendesak kerajaan supaya meluluskan kenaikan kos perkhidmatan yang ditawarkan kini diam seribu bahasa walaupun ada gesaan daripada masyarakat pengguna supaya segera berkompromi dengan menstabilkan kos perkhidmatan di pasaran.
Dalam hal ini usaha pihak pengurusan AirAsia memansuhkan surcaj bahan api berkuat kuasa 8 Januari lalu patut dicontohi walaupun mereka sedang berkabung dan bersedih atas tragedi kemalangan udara yang menimpa anak syarikatnya di Indonesia.
Usaha yang sama sepatutnya diikuti oleh penyedia barangan dan perkhidmatan yang secara langsung terlibat dengan penurunan harga minyak yang diumumkan oleh kerajaan. Bak kata pepatah berat sama dipikul ringan sama dijinjing, bukit sama didaki lurah sama dituruni.
Tuntasnya, tanpa usaha bersungguh-sungguh daripada semua pihak yang terlibat, masyarakat pengguna tidak ubah hanya seperti anjing yang menyalak bukit, tapi bukit takkan runtuh dan golongan ini akan menjadi seperti durian dengan mentimum, menggolek binasa, kena golek pun binasa.
Akhirnya, golongan pengguna akan kekal menanggung beban akibat ketamakan komuniti pengeluar dan pemborong yang hanya mementingkan tembolok mereka sahaja.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.