Ini adalah kenyataan yang cukup jelas dan hakikat yang perlu kita terima. Namun realitinya pada hari ini harga barangan masih berada di takuk lama sekaligus terus merunsingkan dan membebankan pengguna.
Apa yang jelas senario harga minyak global yang semakin menurun menyebabkan pihak kerajaan turut mengumumkan penurunan harga bahan bakar tersebut. Terbaru harga untuk Februari telah diturunkan lagi. RON95 diturunkan sebanyak 21 sen seliter kepada RM1.70 seliter mengikut kaedah pengapungan terkawal
manakala harga runcit petrol RON97 pula diturunkan sebanyak 11 sen seliter kepada RM2 seliter.
Diesel pula diturunkan sebanyak 23 sen seliter kepada RM1.70 seliter. Sepatutnya mengikut logik akal dan formula mudah, harga barangan akan ikut sama turun apabila harga minyak telah diturunkan kerana selama ini kita dimomokkan oleh pembekal dan peniaga bahawa harga barangan terpaksa dinaikkan kerana harga minyak melambung tinggi. Maka pada ketika harga minyak turun, pengguna sudah semestinya berhak menuntut penurunan harga barangan.
Dalam lain perkataan, pengguna berhak menikmati kadar harga barangan yang lebih rendah berbanding ketika harga minyak naik sebelum ini. Namun hakikatnya perkara ini tidak berlaku menyebabkan pengguna semakin keliru dan tertekan kerana kos perbelanjaan harian masih pada tahap yang sama walaupun harga minyak diturunkan.
Maka timbul persoalan di mana silapnya? Apa yang tidak kena lagi? Kenapa harga barangan masih sama walaupun harga minyak sudah diturunkan? Dan kenapa para peniaga terus menzalimi pengguna?
Rata-rata pengguna mahupun pihak kerajaan tidak dapat mencari satu jawapan yang konkrit kepada semua persoalan tersebut. Walaupun pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sedang cuba sedaya upaya untuk mengawal harga barangan serta mengambil tindakan tegas ke atas peniaga yang tamak, degil dan mengambil kesempatan termasuk mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 yang memperuntukkan nilai kompaun sehingga RM100,000 namun situasi dilihat masih berada pada tahap yang sama. Peniaga yang tamak dan degil terus mengambil kesempatan dan pengguna masih menjadi mangsa keadaan secara berterusan.
Alasan terkini daripada peniaga bahawa kejatuhan nilai ringgit dan kemelesetan ekonomi antara punca kenapa harga barangan dan perkhidmatan tidak dapat diturunkan walaupun harga minyak terus turun adalah tidak boleh diterima sama sekali. Apakah mereka lupa pengguna juga menerima tempias yang sama akibat kejatuhan nilai ringgit dan situasi ekonomi yang tidak menentu? Tidak adil andai peniaga saja yang mendakwa mengalami kerugian sebaliknya mereka perlu sedar bahawa pengguna yang sedang mengalami kerugian yang cukup besar dan berlipat kali ganda kerana selama ini harga barangan tidak pernah turun walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Ini adalah realiti.
Maka dalam konteks ini pengguna dilihat sudah tiada pilihan melainkan menggunakan hak sebagai pengguna yang bijak. Sudah tiba masanya kita buktikan kuasa pengguna yang sebenar. Ini masanya untuk kita menuntut hak kita. Dan pastikan peniaga yang tamak dan degil menerima padah yang sewajarnya atas tindak-tanduk mereka yang cukup kejam dan zalim.
Sebagai pengguna kita perlu sedar bahawa kita ada kuasa untuk mengajar peniaga yang degil seperti ini. Maka dalam hal ini penulis sangat bersetuju dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang akan melancarkan kempen boikot besar-besaran terhadap peniaga atau syarikat yang menjual barangan pada harga tinggi walaupun kos operasi telah jatuh berikutan penurunan harga bahan bakar.
Menurut Ketua Aktivis Persatuan PPIM, Datuk Nadzim Johan pihaknya akan bekerjasama dengan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menubuhkan pusat koordinasi yang akan menjadi tempat rujukan pengguna untuk mengetahui mana-mana premis yang perlu diboikot. Ini adalah satu langkah drastik yang wajar dipuji dan patut disokong oleh semua pengguna yang mahukan keadilan dan pembelaan yang sewajarnya.
Jelas sudah tiba masanya untuk kita melindungi hak kita sendiri tanpa terlalu bergantung harap kepada pihak berkuasa semata-mata. Di samping kita berharap agar pihak kerajaan akan terus bertindak dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap peniaga yang degil, kita juga perlu mengambil tindakan yang sewajarnya supaya terus memberi tekanan kepada pemborong dan peniaga agar segera menurunkan harga barangan.
Kita sebenarnya mampu melakukannya andai bijak menggunakan hak dan kuasa kita sebagai pengguna. Sedar atau tidak golongan pengguna jauh lebih ramai daripada golongan peniaga. Pengguna ialah kelompok majoriti yang mempunyai banyak pilihan sebenarnya. Bilangan kedai runcit, syarikat mahupun kedai makan yang begitu banyak sepatutnya digunakan sebaik mungkin untuk kita membuat pilihan yang bijak.
Teliti harga yang ditawarkan terlebih dahulu. Buat perbandingan harga dengan gerai lain dan barulah membuat keputusan. Itu adalah tindakan asas yang paling penting dalam situasi sekarang. Tegasnya, jangan beli di kedai yang menjual sesuatu barangan mahupun perkhidmatan itu dengan harga yang lebih mahal berbanding dengan kedai lain.
Boikot terus kedai dan peniaga tersebut termasuk menghebahkan ketamakan peniaga terbabit kepada pengguna lain dan juga membuat aduan terus kepada pihak berkuasa. Jika setiap seorang daripada kita mampu berbuat demikian maka percayalah para peniaga yang degil pasti akan mengalah. Mereka tiada pilihan selain menurunkan harga barangan daripada terus jatuh bankrap. Itulah kuasa pengguna yang sebenarnya.
Kita boleh mengayakan seorang peniaga dan juga sebaliknya boleh membuat peniaga tersebut tersungkur gulung tikar.
Sepatutnya dalam keadaan sekarang ini sebagai pengguna kita utamakan konsep nilai untuk ringgit atau value for money dalam setiap perbelanjaan kita. Namun malangnya tidak ramai yang menggunakan hak dan kuasa sebagai pengguna. Kita ambil mudah, malas memilih dan membandingkan harga terlebih dahulu sebelum membuat pembelian menyebabkan para penaga terus bermaharajalela.
Percayalah, walau apapun kempen dianjurkan, andai pengguna tidak menggunakan kuasa dan hak maka segalanya bakal menjadi sia-sia sahaja. Dan dalam situasi tersebut tidak wajar untuk kita menuding jari menyalahkan mana-mana pihak lain kerana harga barangan masih mahal.
Kita juga perlu ingat bahawa situasi kenaikan harga barangan mungkin akan menjadi lebih parah apabila Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan mulai April ini. Para peniaga sudah pastinya akan menggunakan alasan GST pula untuk terus menaikkan harga barangan dan perkhidmatan.
Dan pada ketika itu apakah kita akan terus berlapang dada menerima dengan seadanya serta reda dengan harga yang dikenakan oleh peniaga yang tamak dan degil? Jika kita tidak mahu para peniaga terus menindas pengguna maka kita perlu segera bertindak sebelum keadaan menjadi semakin tenat. Pemborong dan peniaga yang tamak perlu diajar untuk menghormati hak kita sebagai pengguna. Mereka perlu disedarkan betapa tiada perniagaan dan keuntungan tanpa kita sebagai pengguna.
Ayuh semua pengguna yang bijak pandai, marilah kita membuktikan kehebatan kuasa dan hak kita sebagai pengguna. Buatlah pilihan yang tepat dan bijak. Boikot peniaga yang degil dan tamak. Sedarlah bahawa hak kita tanggungjawab kita sendiri.