KUALA
LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa orang ramai
memboikot air mineral 500 mililiter (ml) yang dijual lebih RM1.
Ketua
Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pengguna telah ditipu sekian
lama dan sepatutnya air mineral 500ml berharga sekitar 70 sen sebotol.
Menurutnya,
air mineral bagi saiz itu kini dijual pada harga berbeza di seluruh
Malaysia dengan ada yang menjualnya sehingga mencecah RM3.30 sebotol.
“Ada satu air mineral harganya tidak masuk akal memandangkan proses untuk menghasilkan sebotol air mineral tidak begitu rumit.
“Malah
jika dikira, harga minyak petrol yang melalui pelbagai proses dalam
kuantiti 500ml lebih murah daripada harga sebotol air mineral bersaiz
sama.
“Harga
minyak petrol RON95 dalam kuantiti 500ml hanya 85 sen. Jadi kalau nak
kata, lebih baik minum minyak petrol sebab lagi murah,” sindirnya.
Beliau
berkata demikian pada sidang media, semalam, untuk mengumumkan produk
pertama yang perlu diboikot pengguna dalam usaha menekan peniaga untuk
menurunkan harga barang.
Menurutnya,
keputusan untuk memboikot air mineral melebihi RM1 telah dibincangkan
dan dipersetujui bersama Cuepacs dan lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan
melalui pusat koordinasi boikot yang telah ditubuhkan PPIM.
“Tempoh
boikot yang telah kami persetujui ialah selama tiga bulan dan kita akan
kaji semula jika pihak syarikat atau peniaga mengemukakan maklumat atau
fakta kepada pihak kami.
“Kami jangkakan dalam tempoh beberapa hari sahaja harga air mineral akan jatuh sekiranya masyarakat menyokong kempen ini.
“Kami juga akan uar-uarkan perkara ini dalam media sosial,” katanya.
Menurutnya, ada banyak jenama air mineral di bawah RM1 sebotol yang boleh dibeli masyarakat.
“Contohnya di pasar raya Tesco, air mineral pada saiz 500ml hanya berharga 49 sen sahaja sebotol,” katanya.
Beliau
berkata, masyarakat mempunyai pilihan untuk memboikot dan menunjukkan
kuasa yang dimiliki pengguna agar peniaga menurunkan harga dan tidak
menindas pengguna.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung 1 Cuepacs, Adnan Mat menyeru penjawat awam untuk turut serta menyokong kempen ini.
“Harus
diakui penjawat awam gajinya tidak besar dan penurunan harga barang
akan memberikan manfaat besar kepada mereka,” katanya.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/semasa/ppim-lebih-baik-minum-petrol-1.357534