Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, tindakan tersebut wajar dan setimpal terutama jika kesalahan berkenaan berulang.
Katanya, SKMM juga perlu menyenarai hitam syarikat yang terlibat sebagai pengajaran serta memastikan jaminan dan hak pengguna dapat dijaga.
“Jika kesalahan tersebut berulang, bentuk kompaun juga perlu digandakan. Apa yang penting mereka sedar dan tidak mengulangi kesalahan pada masa akan datang.
“Jumlah kompaun untuk kesalahan kali pertama mungkin memadai. Tetapi jika kali kedua dan ketiga, ia sudah melampau. Apa yang penting, tindakan berkenaan dijadikan pengajaran kepada syarikat lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Semalam, SKMM memaklumkan pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 50 kompaun bernilai RM2.29 juta kepada telco atas kesalahan pendaftaran palsu kad SIM prabayar bagi tempoh antara Januari hingga Disember tahun ini.
Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kompaun yang dikenakan tidak memberikan kesan kepada telco dalam usaha membendung kesalahan tersebut kerana mereka mampu membayarnya.
“Tindakan menggantung perkhidmatan mungkin cara penyelesaian terbaik. Tambahan pula jika perkhidmatan yang disediakan lemah dan mengenakan pelbagai caj lain kepada pengguna.
“Tekanan perlu diberikan kepada syarikat berkenaan demi memastikan hak pengguna terus terpelihara,” tegasnya.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, tindakan perlu diambil terhadap keseluruhan syarikat termasuk ketua organisasinya.
“Ketua syarikat juga perlu dikenakan tindakan kerana mereka yang mencorak sesebuah organisasi itu.
“Setiap masalah ada jalan penyelesaian dan merekalah yang sepatutnya bertanggungjawab dalam isu ini,” katanya.