2477) THE RAKYAT POST – 03/02/2015 – Pengguna ‘Tidur’ Punca Peniaga ‘Pijak Kepala’
12 Feb 2015
Masyarakat harus dididik tentang hak pengguna dan tidak dibiarkan terus bergantung harap kepada agensi atau jabatan kerajaan.
KUALA LUMPUR, 3 Februari:
Sikap pengguna negara ini yang tidak tahu menggunakan hak adalah punca peniaga mengambil kesempatan ‘memijak kepala’ mereka dengan tidak mengendahkan desakan agar menurun harga barangan ekoran harga bahan api yang makin murah, kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.
Katanya, walaupun kerajaan sudah tiga kali mengumumkan penurunan harga minyak dengan yang terbaru berkuatkuasa 1 Februari, peniaga bersikap ‘pekak badak’ menjual barangan pada harga lama, malah ada yang lebih tinggi lagi disebabkan mereka tidak merasa terancam atau ‘gerun’ dengan kuasa yang ada pada pengguna.
“Pengguna sudah lama sangat tidur, paling baik pun mengantuk. Mereka selama ini membiarkan sahaja harga barang terus naik tanpa melakukan sesuatu.
“Bila harga barang naik, kerajaan akan bagi subsidi untuk mengawal harga tersebut menyebabkan pengguna terus tidur,” katanya ketika ditemui The Rakyat Post pada Isnin.
Sehubungan itu, Nadzim berkata, pihaknya akan mewujudkan satu pusat boikot yang berfungsi membuat kajian terhadap harga semasa barangan tertentu dan pengguna boleh mengetahui harga sebenar berbanding harga jualan di kedai.
Menurut beliau usaha itu akan dijalankan dengan kerjasama daripada lebih 20 badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai ahli yang ramai seperti Kongres Kesatuan Sekerja Kakitangan Awam (CUEPACS).
“Kita akan wujudkan ‘boycott centre’ di mana ia akan mengumpulkan maklumat harga barang yang naik dan perlu dikawal.
“Selepas itu kita akan gunakan media sosial untuk memboikot peniaga-peniaga yang menjual harga barangan lebih mahal daripada biasa.
“Mereka (peniaga) yang terus menipu, mereka kena berani tanggung risiko,” tegasnya.
Mengulas mengenai cadangan memisahkan bahagian kepenggunaan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan diletakkan terus di bawah Jabatan Perdana Menteri, Nadzim menyifatkan ia cadangan yang baik tetapi ada perkara yang lebih penting.
Masyarakat harus dididik tentang hak pengguna dan tidak dibiarkan terus bergantung harap kepada agensi atau jabatan kerajaan, jelas beliau.
“Sikap itu perlu diperbetulkan kerana (kuasa) kerajaan mempunyai hadnya.
“Kalau terus dibiarkan, walaupun kita mencapai negara maju pada tahun 2020, pengguna tetap berada pada takuk lama di mana mereka terus ditindas,” tegas beliau.
Post Views: 141