2482) UTUSAN – 10/02/2015 – Kerajaan Disaran Beri Lebih Banyak Permit
12 Feb 2015
SAHARUDDIN AWANG YAHYA Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia
KUALA LUMPUR 9 Feb. – Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM) menyarankan kepada kerajaan agar mengeluarkan permit kepada lebih banyak peniaga bagi mengelakkan monopoli oleh individu tertentu dalam pasaran.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya berkata, langkah itu juga dilihat dapat mengawal harga barangan dalam pasaran terutama melibatkan barangan keperluan harian.
“Jika tiada kuasa monopoli, harga barangan pasti menjadi lebih murah dan banyak syarikat dapat bersaing secara sihat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Hilmi Yahaya berkata, amalan monopoli perniagaan yang diamalkan ketika ini perlu dihapuskan bagi menangani isu keengganan peniaga menurunkan harga barang seiring penurunan harga minyak.
Menurut beliau, langkah memboikot peniaga tamak sahaja tidak akan memberi kesan dalam jangka masa panjang, sebaliknya kaedah lebih menyeluruh perlu dilaksanakan iaitu dengan menghapuskan monopoli perniagaan yang memberi keuntungan kepada sesetengah pihak sahaja.
Saharuddin berkata, syarikat milik kerajaan (GLC) juga wajar membuat pemantauan harga semasa dan jika ada sesuatu yang tidak kena dalam pasaran, mereka boleh campur tangan.
“Sekiranya para peniaga tidak mahu menurunkan harga barang, GLC boleh mengambil alih dan memainkan peranannya dengan membekalkan barangan antaranya kepada pasar tani dan koperasi agar dapat membantu pengguna yang ditindas.
“Tindakan tersebut akan memberi cabaran kepada peniaga. Saya percaya, pengguna akan membeli barangan keperluan di tempat yang lebih murah sekali gus dapat memboikot peniaga yang hanya mementingkan keuntungan,” katanya.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), Muhammad Sha’ani Abdullah berkata, usaha untuk menurunkan harga barangan tidak boleh berjaya sekiranya hanya peruncit ditekan tanpa kerjasama daripada pengeluar, pengedar dan pihak yang berkaitan.
Katanya, pengeluar dan pihak terlibat perlu mengamalkan sikap bertanggungjawab terlebih dahulu sebelum menyalahkan peruncit.
“Kami setuju semua bentuk monopoli harus dihentikan supaya tiada lagi penindasan kepada pengguna.
“Malah dilaporkan harga barangan di pasaran dunia sudah turun seperti gula tetapi harga runcit gula masih tiada perubahan,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan pula berpendapat monopoli sangat bahaya jika diteruskan kerana boleh menyebabkan berlakunya penindasan kepada pengguna.
“Oleh itu, kerajaan harus memastikan sistem monopoli perniagaan dipantau supaya rakyat tidak terbeban dengan harga yang tinggi,” katanya.
Post Views: 117