2492) UTUSAN MALAYSIA – 19/1/16 – KDN HARUS BERTINDAK TERHADAP TONTO
19 Jan 2016
NADZIM JOHAN (dua dari kanan) bertanya sesuatu kepada Amir Hamzah Mohd. (dua dari kiri) sambil diperhatikan Husainay Hashim (tiga dari kanan) dan Hamzah Masri (tiga dari kiri) selepas sidang akhbar di Kuala Lumpur.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan yang berkesan perlu diambil kerana perbuatan tonto yang cuba melindungi kegiatan jenayah telah berlarutan sehinggakan ramai penguat kuasa menjadi mangsa keganasan mereka.
“Sehingga kini, mereka yang terlibat dalam menterbalikkan kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sehingga terbakar dalam satu kejadian di Sitiawan, Perak dua tahun lalu masih belum dapat dibawa ke muka pengadilan.
“Terbaharu, sepasukan anggota JPJ diganggu ketika bertugas di Kapar, Klang selain menerima ancaman daripada tonto. Perkara sebegini tidak boleh dibiarkan, pihak kementerian perlu melakukan sesuatu, bukan sahaja demi keselamatan penguat kuasa malah keselamatan orang awam juga,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Yang turut hadir Penasihat Khas PPIM, Datuk Husainay Hashim; Penasihat PPIM, Datuk Seri Amir Hamzah Mohd. dan Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM), Hamzah Masri.
Menurut Nadzim, jika pihak kementerian terus mengambil mudah terhadap ancaman tonto, tidak mustahil kumpulan itu akan menjadi semakin berani dan terus berkembang.
“Percayalah, kalau tiada apa-apa tindakan dari sekarang, 10 tahun lagi mereka akan menjadi lebih besar dan kuat. Waktu itu kita mungkin sudah tidak boleh buat apa lagi, kedaulatan negara ini seolah-olah berada di tangan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Hamzah meminta kerajaan menilai semula kuasa yang diberikan kepada penguat kuasa khususnya JPJ bagi membolehkan mereka menjalankan tugas pada tahap maksimum.
Beliau berkata, sudah tiba masanya penguat kuasa JPJ diberi kuasa menangkap dan mendakwa sendiri pesalah jalan raya terutama tonto.
“Kalau boleh satu pindaan atau kuasa diberi kepada JPJ. Sekiranya diekori oleh tonto, mereka boleh ditahan untuk diambil tindakan.
“Ini demi keselamatan semua, apabila kita lemah dalam penguatkuasaan, itu yang ada lori hantu keluar kawasan, lori yang bawa lebih muatan dan sebagainya, itu semua akan mengancam nyawa orang awam,” ujarnya.
Post Views: 131