Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2493) BERNAMA – 17/02/2015 – PPIM Syor Kerajaan Kawal Harga Barang Peringkat Pengeluar, Pembekal
20 Feb 2015

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) — Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mencadangkan supaya kerajaan mengambil langkah proaktif mengawal harga barangan di peringkat pengeluar dan pembekal.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata pemantauan biasanya dilakukan terhadap peruncit, sedangkan para pengeluar dan pembekal juga memain peranan penting dalam menentukan harga barangan di pasaran.

Beliau berkata usaha untuk menurunkan harga barang peringkat peruncit tidak akan berjaya jika pihak pengeluar masih mengenakan harga yang tinggi walaupun kos operasi berkurangan selepas penurunan harga minyak.

“Sebagai contoh, baru-baru ini harga gas LPG 14 kg daripada pembekal kepada peruncit ialah RM25.10, dalam tempoh beberapa hari, harga gas telah dinaikkan kepada RM25.50 sedangkan harga siling yang ditetapkan KPDNKK (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) masih RM26.60.

“Margin jualan yang diperolehi peruncit semakin mengecil, sepatutnya harga gas turun kerana harga minyak telah turun, jadi kita tak tahu apa rasional kenaikan harga ini,” katanya pada sidang akhbar di ibu negara, Selasa.

Sementara itu, Persatuan Pemborong dan Peruncit Muslim Malaysia (Mawar) juga meminta kerajaan memantau harga peringkat pengeluar dan pembekal.

–BERNAMA
Sumber : http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1110013