2507) UTUSAN MALAYSIA – 22/1/16 – PERANGI PREMIS JUDI HARAM HABIS-HABISAN
22 Jan 2016
Jawatankuasa dianggotai oleh 36 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negara itu bertujuan menangani dan menghapuskan premis-premis judi yang didapati semakin berleluasa di seluruh negara.
Presiden JMM, Azwanddin Hamzah berkata, menerusi jawatankuasa itu, JMM serta NGO terlibat akan bertindak menyalurkan maklumat terkini mengenai operasi premis judi di kawasan yang telah dikenal pasti kepada pihak berkuasa dan khususnya pihak media.
Beliau menekankan, jawatankuasa itu akan mengutamakan penyaluran data-data terkini mengenai operasi premis judi kepada pihak media, memandangkan laporan-laporan yang dibuat kepada pihak berkuasa sebelum ini dipandang endah tidak endah.
“Selama dua hingga tiga tahun saya serta rakan-rakan NGO lain ‘melaungkan’ supaya tindakan berat dikenakan terhadap premis judi, tetapi tiada kesan positif dapat dilihat. Bagaimanapun, apabila kami membawa perkara ini kepada pihak media, kita dapat lihat penurunan jumlah premis judi yang ketara.
“Setelah melihat kepada kejayaan menangani isu ini menerusi media, jadi jawatankuasa bertindak akan memberi fokus kepada kerjasama dengan media untuk mengatasi isu lambakan premis judi di seluruh negara. Dalam erti kata lain, kami lebih mempercayai peranan pihak media dalam usaha ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Bertindak Perangi Mesin Judi Slot di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Azwanddin memberitahu, pihak jawatankuasa tersebut akan mengatur pertemuan dengan Ketua Pengarang agensi media bagi membincangkan kerjasama itu dalam masa terdekat.
“Sekiranya dibenarkan, saya ingin membawa NGO-NGO jawatankuasa bertindak ini untuk bertemu dengan Ketua Polis Negara dan memberi pandangan mengenai langkah terbaik menangani isu premis judi yang semakin berleluasa.
“Kami juga bercadang bertemu dengan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan untuk membincangkan isu ini,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Azwanddin mendedahkan, beliau didatangi oleh dua individu yang dipercayai terlibat dengan ‘sektor’ perjudian dan menawarkan ‘wang’ bulanan kepadanya, dengan syarat tidak lagi menentang kewujudan premis judi.
“Katanya mereka mahu berkawan, selain menawarkan wang bulanan RM100,000 kepada saya. Tetapi saya menolak tawaran itu dan bertegas mahu terus berusaha memastikan premis-premis judi di seluruh negara ditutup,” jelas beliau.
Sumber : http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/perangi-premis-judi-haram-habis-habisan-1.182127
Post Views: 159