Tokoh negara itu menegaskan cadangan berkenaan akan mendatangkan kesulitan khususnya terhadap pesakit apabila ingin mendapatkan bekalan ubat pada waktu tertentu di lokasi berasingan.
“Masalah paling ketara akan berlaku adalah apabila pesakit diberikan preskripsi ubat pada waktu malam atau awal pagi, pesakit itu perlu hantar orang lain pula untuk membeli ubat di tempat lain.
“Maka farmasi perlu dibuka sepanjang malam. Kita perlu ingat orang sakit tidak mengikut masa, sakit ini boleh datang pada bila-bila masa,” katanya pada sidang akhbar majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Universiti Perdana dengan Universiti Sains San Diego, di Universiti Perdana, Serdang, dekat sini hari ini.
Yang turut hadir Penolong Naib Canselor dan Pengarah Eksekutif Universiti Sains Kesihatan Antarabangsa California, Mounir Soliman dan Naib Canselor Universiti Perdana, Prof. Datuk Dr. Sothi Rachargan.
Sebelum ini, cadangan pengasingan fungsi klinik dan farmasi di klinik swasta menjadi perdebatan hangat antara pelbagai pihak yang mempersoalkan kesannya sekiranya dilaksanakan.
Langkah tersebut menimbulkan pelbagai pertikaian sehingga berlaku pertembungan pendapat antara doktor perubatan dan ahli farmasi.
Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) sebelum ini menjelaskan, pelaksanaan pengasingan dispensari adalah pendekatan yang terbaik dalam menyaring pemberian ubat kepada pesakit dan mengurangkan risiko kesilapan memberi ubat oleh doktor.
Kenyataan itu bagaimanapun disangkal Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dengan alasan kemudahan perubatan di negara ini terutama di luar bandar masih belum bersedia untuk pelaksanaan cadangan itu.
Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berharap kerajaan menolak cadangan itu kerana dikhuatiri menyebabkan monopoli pihak tertentu dalam penjualan ubat.
Terbaharu, Kementerian Kesihatan memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan cadangan tersebut kerana mahu menjalankan penelitian lanjut.
Menurut Dr. Mahathir yang juga seorang bekas pengamal perubatan, sistem sedia ada wajar dikekalkan malah terbukti berkesan dan praktikal.
“Dahulu saya sendiri bawa beg dengan ubat ketika berjumpa pesakit, kalau perlu disuntik maka suntikan boleh terus dilakukan, Ini akan memudahkan pesakit, malah mereka (pesakit) akan menghubungi saya pada pukul 1 dan kadang-kadang pukul 3 dan 4 pagi.
“Cuba bayangkan pesakit itu tidak boleh bergerak dan perlu mendapatkan ubat segera sedangkan ubat perlu diambil tempat lain, ini ambil masa dan mungkin juga pesakit itu boleh mati,” tegasnya.
Terdahulu, ketika berucap pada majlis tersebut mengenai perubahan dunia perubatan di negara ini, Dr. Mahathir memberitahu, sikap sambil lewa orang ramai menjadi punca utama jumlah kes demam denggi di negara ini meningkat sehingga menjadi wabak yang membimbangkan.
Katanya, salah satu cara untuk membendung wabak ini adalah dengan menghapuskan pembunuhnya iaitu nyamuk aedes. Maka, jalan penyelesaiannya adalah untuk menghapuskan pembunuhnya.