2515) HARIAN METRO – 16/03/2015 – Bersikap Terbuka Tangani Rasuah
18 Mar 2015
Kajang: Agensi kerajaan perlu bersikap lebih terbuka menangani dakwaan salah laku dan rasuah sebelum melakukan sebarang penafian bagi mengelak tanggapan negatif dilemparkan masyarakat kepada agensi terbabit.
Presiden Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) Tunku Abdul Aziz Ibrahim berkata, ketelusan dan integriti penguatkuasa dalam agensi kerajaan dipersoalkan dan kepercayaan masyarakat terhadap mereka kemungkinan hilang sekiranya penafian dilakukan tanpa fakta.
“Agensi kerajaan perlu lebih bersikap terbuka menyiasat setiap dakwaan sebelum menafikan atau mempertahankan agensi di bawahnya kerana dakwaan bukan datang dari seorang tetapi ramai. Penafian hanya akan membuatkan seolah-olah mereka menyokong (mengiakan) dakwaan itu.
“Contohnya kes pembalakan di Cameron Highlands dan Gua Musang, Kelantan perlu diselilidik faktanya sama ada memang berlaku pembalakan haram atau salah guna kuasa.
“Malah, mereka juga perlu menerima cadangan pihak lain bagi penambahbaikan agensi sebelum memutuskan bersetuju atau tidak melaksanakannya,” katanya selepas Mesyuarat Agung YARM kali kedua di Kolej Komuniti Hulu Langat di sini, semalam.
Turut hadir Timbalan Presiden Dr Ahmad Satar Ali Merican, Naib Presiden I Datuk Nadzim Johan dan Naib Presiden II Jais Abdul Karim.
YARM adalah sebuah badan penyelaras pencegahan rasuah yang bebas disertai 65 ahli dan lebih 1,000 sukarelawan terpilih daripada tujuh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengumpul maklumat dan mencadangkan pembaharuan kepada pihak berkaitan.
Tunku Abdul Aziz berkata pihaknya mensasarkan pembabitan lebih ramai sukarelawan termasuk penuntut dan ahli berprofesion tinggi tampil menyertai YARM untuk membantu membanteras gejala rasuah.
“Kita melihat gejala rasuah dalam kalangan golongan muda amat membimbangkan dengan merujuk kepada statistik dikeluarkan SPRM bermula 2008 hingga 2013 mencatatkan hampir 40 peratus (2,318) pelaku rasuah adalah mereka yang berusia antara 15 hingga 35 tahun,” katanya.
Post Views: 155