Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihak terlibat perlu mencontohi bank-bank negara jiran yang sanggup menanggung caj cukai tersebut bagi membantu mengurangkan beban pengguna.
Katanya, sehubungan itu, Bank Negara diseru supaya menasihatkan dan meminta kerjasama MEPS dan bank berkaitan agar dapat melaksanakan saranan ini sebagai menunjukkan timbang rasa mereka ke atas pengguna.
“Walaupun caj enam peratus GST ke atas pengeluaran wang menerusi mesin ATM adalah sedikit, tetapi menjadi isu tambahan yang begitu membebankan dalam kalangan pengguna.
“Sebab itu, kami mencadangkan agar bank di negara ini mencontohi bank negara jiran seperti di Singapura yang bersikap lebih prihatin kerana boleh menanggung bayaran tersebut bagi membantu meringankan beban pengguna,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Nadzim, dalam masa sama, sebagai tanda menyokong usaha kerajaan, MEPS boleh menganggap tindakan tersebut sebagai satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang pasti akan dihargai oleh pengguna.
“Banyak lagi caj besar yang dikenakan kepada pelanggan yang keuntungannya jauh lebih besar.
“Bank-bank dan juga syarikat yang telah mendapat manfaat puluhan tahun dengan keuntungan luar biasa seharusnya pandai mengambil hati pelanggan dan harus kelihatan bersama kerajaan dalam isu seperti ini,” katanya.