2523) UTUSAN – 20/03/2015 – Kerajaan Digesa Teliti Kadar Tambang Baharu
27 Mar 2015
KUALA LUMPUR 19 Mac – Kerajaan digesa mengkaji terlebih dahulu implikasi kenaikan kadar tambang baharu teksi dan bas ekspres yang diumumkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) hari ini kerana ia dilihat bakal membebankan rakyat.
Presiden Lembaga Perlindungan dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Datuk Seri Dr. Shaharuddin Awang Yahya berkata, bila ada sesuatu kenaikan, ia pasti akan memberi tekanan berat kepada pengguna terutama bagi mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.
“Seharusnya pihak SPAD tidak perlu menaikkan kadar tambang tersebut secara drastik, pihak berwajib sepatutnya mengadakan perbincangan terlebih dahulu bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan pengusaha pengangkutan awam dan orang ramai bagi menentukan kadar tambang yang bersesuaian.
“Kita akur dengan kenaikan tambang baharu ini tetapi mereka perlu mengambil kira pandangan dan kesan-kesannya kepada para pengguna. Kenaikan tambang tersebut sedikit sebanyak menyusahkan pengguna terutamanya kepada mereka yang menggunakan pengangkutan awam,” katanya.
Beliau diminta mengulas mengenai kenaikan tambang baharu pengangkutan awam yang diumumkan SPAD hari ini.
Mengulas lanjut, Shaharuddin berkata, pengguna mula berasa tertekan dengan kenaikan harga barangan mahupun servis yang mula naik sedikit demi sedikit sebelum pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan bermula bulan depan.
“Saya yakin pengguna akan bertambah bimbang tentang kenaikan harga sama ada akan terus naik ataupun turun selepas pelaksanaan GST nanti. Kita sebagai pengguna faham mengapa kenaikan tambang itu berlaku cuma ia terlalu tinggi dan perlu diteliti semula.
“Tidak adil rasanya sekiranya pihak berwajib tetap meluluskan permohonan kenaikan tambang tersebut tanpa mendapat persetujuan dan kata putus yang terbaik kerana kenaikan tersebut jelas meningkatkan perbelanjaan pengguna,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, bas ekspres dan teksi merupakan pengangkutan awam yang sering digunakan oleh
pengguna.
“Kenaikan tambang tersebut sedikit sebanyak menjejaskan perbelanjaan pengguna. Kita boleh lihat pada masa kini, masyarakat kerap menggunakan pengangkutan awam berbanding kenderaan sendiri untuk ke tempat kerja malah kerajaan juga menggalakkan untuk menggunakannya.
“Saya menggesa pihak kerajaan untuk mengkaji dan menyemak semula kenaikan tambang tersebut dalam memastikan rakyat tidak terbeban dengan perkara tersebut. Mereka seharusnya perlu ada garis panduan dalam menentukan paras tambang yang berpatutan agar mampu dibayar oleh semua golongan masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menjelaskan, kenaikan tambang tersebut adalah munasabah dalam konteks kenaikan beberapa kos operasi dan penyelenggaraan kenderaan seperti minyak, tayar dan sebagainya yang sudah meningkat.
“Kami sebagai NGO pengguna tidak menghalang mengenai kenaikan struktur tambang baharu ini cuma pengusaha perkhidmatan awam perlu menyediakan perkhidmatan terbaik kepada para pengguna. Mereka perlu memberi jaminan keselamatan dan keselesaan kepada pengguna dapat ditingkatkan seiring dengan kenaikan tersebut, ” katanya.
“Saya tidaklah kata bahawa kenaikan tambang ini menguntungkan orang ramai cuma sebagai pengguna bijak mereka boleh meminta mendapatkan mutu perkhidmatan yang berkualiti dari segi layanan dan keselesaan ketika menaiki bas mahupun teksi disebabkan sudah membayar lebih,” katanya.
Post Views: 106