Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2527) BERNAMA – 19/03/2015 – Masyarakat Terima Kadar Baharu Komuter KTMB
27 Mar 2015

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) — Kadar tambang baharu perkhidmatan komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) adalah wajar dan boleh dipertimbangkan.

Menurut Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (RUM) Abdul Razak Md Hassan, kadar tambang KTM pada masa kini adalah di bawah harga pasaran, maka kenaikkan yang diumumkan adalah bersesuaian.

“Saya lihat kadar kenaikkan itu tidak akan membebankan rakyat malah pengumuman kadar baharu itu juga turut mengekalkan kadar konsesi kepada warga emas, orang kurang upaya dan kanak-kanak dengan diskaun sebanyak 50 peratus,” katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam (PPIM) Datuk Nadzim Johan berpendapat kenaikkan kadar tambang perkhidmatan komuter yang akan berkuatkuasa 1 Mei ini, akan disusuli dengan peningkatan dalam perkhidmatan komuter turut lebih baik.

Katanya, masyarakat tidak menghalang jika kadar baharu itu dinaikkan, tetapi pada masa yang sama perkhidmatan dan keselesaan perlu dipertingkatkan.

“Bukan bermakna kami nak tolak apa sahaja harga naik, kami faham kos operasi kini semakin naik maka kadar baharu perlu dilaksanakan.

“Namun apa yang penting, pengguna sangat mengharapkan dengan harga yang naik ini, kualiti perkhidmatan juga perlu dinaikkan sekali,” katanya.

Pengguna seperti Nur Arifah Razif, 24, yang menggunakan perkhidmatan komuter setiap hari untuk ke tempat kerja turut menerima baik kadar baharu perkhidmatan KTMB.

Katanya, selagi kadar baharu itu masih berpatutan, ia tidak menjadi masalah kepada pengguna hanya diharapkan KTMB dapat mempertingkatkan perkhidmatan mereka.

“Saya setiap hari pergi kerja naik KTM dari Stesen Kepong ke Stesen Putra dengan harga RM1.10, tapi kalau harga dia naik dalam 30 sen saya masih boleh bertolak ansur.

“Tapi saya harap perkhidmatan KTM lebih baik, contohnya komuter tiba di stesen masing-masing pada masanya,” katanya.

Hari ini KTM Berhad mengumumkan kadar baharu kadar tambang baharu bagi perkhidmatan KTM Komuter dengan peningkatan sehingga RM7.10 berkuat kuasa 1 Mei.

Kadar baharu itu turut dikecualikan dari Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP).

Kali terakhir KTM Berhad melaksanakan pelarasan tambang itu ialah pada Februari 2003.

— BERNAMA
Sumber : http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1118603