Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2532) KEMENTERIAN KESIHATAN – 30/1/16 – ISU DAUN BETIK YANG MENGANDUNGI BAHAN KIMIA YANG MEMUDARATKAN
02 Feb 2016

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

ISU DAUN BETIK YANG MENGANDUNGI BAHAN KIMIA YANG MEMUDARATKAN DAN PRODUK PENAWAR DEMAM DENGGI

kegunaan-daun-betik
Beberapa hari yang lalu telah timbul kenyataan oleh pihak tertentu bahawa daun pokok betik mengandungi bahan kimia yang merbahaya iaitu cyanogenic glycoside yang boleh menyebabkan kegagalan fungsi hati, buah pinggang dan jantung, dan seterusnya menyebabkan kematian.
Cyanogenic glycosides atau bad sugar adalah merupakan bahan kimia yang terdapat di dalam sekurang-kurangnya 2000 spesis tumbuhan dan ada antaranya yang digunakan sebagai makanan seperti ubi kayu, badam, biji-bijian, bunga cengkih, rebung buluh, buah-buahan berkernel seperti aprikot, pic, plum dan ceri dan lain-lain. Bahan kimia ini terkandung di bahagian yang berlainan seperti di akar, ubi, daun, selaput biji, biji, buah dan lain-lain. Bagi pokok betik pula, ianya terdapat di dalam buah, biji, daun dan akar. Cyanogenic glycosides adalah bahan kimia yang digunakan oleh tumbuhan-tumbuhan tersebut sebagai pertahanan dalam menghadapi serangan serangga perosak atau haiwan pemaun. Oleh itu, secara semulajadi, kandungan cyanogenic glycosides ini lebih tinggi pada pokok muda berbanding pokok matang. Ini adalah bagi memastikan pokok muda mampu terus hidup.
Cyanogenic glycosides perlu bertindakbalas dengan enzim beta-glucosidase untuk menghasilkan hydrogen cyanide. Proses ini selalunya berlaku apabila terdapat serangan. Rujukan dari jurnal saintifik menunjukkan bahawa pokok betik tergolong dalam kumpulan weak cyanogenesis iaitu yang menghasilkan hydrogen cyanide dalam kuantiti yang sedikit (terdapat 0.02 mg cyanide di dalam empat (4) helai pucuk daun betik dan jumlah ini berkurangan apabila daun itu bertambah matang). Dos cyanide yang paling rendah untuk memudaratkan manusia adalah sebanyak 1 mg bagi setiap kg berat badan. Oleh itu bagi seseorang yang mempunyai berat badan sebanyak 60 kg, 12,000 helai daun betik perlu diambil pada satu masa untuk mengakibatkan keracunan akut.
Kajian keselamatan yang telah dijalankan oleh pihak Institut Penyelidikan Perubatan (Institute for Medical Research, IMR), di mana dos tertinggi, 2000 mg bagi setiap kg berat badan, telah diuji di dalam haiwan makmal. Dalam kajian ini, tiga jenis cara pengambilan telah digunakan iaitu satu dos sahaja, satu dos setiap hari selama 28 hari dan satu dos setiap hari selama 90 hari. Tiada kesan sampingan didapati pada buah pinggang, hati dan jantung. Keputusan ujian darah adalah normal. Kajian khusus ke atas hati (kajian hepatotoksiti) juga adalah normal.
Kajian klinikal oleh pihak IMR terhadap jus daun betik di dalam pesakit denggi (denggi tidak berdarah dan denggi berdarah kelas satu) menunjukkan bahawa pengambilan sebanyak 30ml (dua sudu besar) jus daripada dua (2) daun betik matang setiap hari, selama tiga hari menaikkan jumlah platelet. Kenaikan platelet ini hanyalah salah satu dari pelbagai proses yang berlaku di dalam pesakit yang menghidapi demam denggi. Kajian masih lagi berjalan berkaitan kegunaan jus daun betik bagi demam denggi. Pihak KKM tidak menyediakan jus daun betik di hospital-hospital kerajaan.
Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), KKM juga ada mendaftarkan produk-produk yang mengandungi daun betik (folium carica papaya) dengan indikasi seperti kesihatan umum. Produk-produk ini didaftarkan di bawah kategori produk tradisional. Produk-produk di bawah kategori ini dinilai daripada segi kualiti, keselamatan dan tuntutan untuk kegunaan tradisional mengikut kriteria-kriteria yang telah ditetapkan oleh PBKD sebelum produk tersebut didaftarkan.
Terdapat juga kenyataan oleh pihak tertentu yang mendakwa makanan tambahan berasaskan herba boleh dijadikan penawar demam denggi. Pada masa ini, indikasi atau tuntutan yang dibenarkan untuk produk tradisional adalah mengikut kegunaan ramuan/formulasi produk tersebut secara tradisional yang dirujuk dari rujukan farmakopeia ubat tradisional. Tuntutan terapeutik tidak dibenarkan untuk produk-produk di bawah kategori ini kerana produk-produk tersebut tidak menjalankan kajian klinikal untuk menyokong tuntutan terapeutik. Walau bagaimanapun, jika sesuatu produk tradisional/herba ingin membuat tuntutan terapeutik, kajian klinikal yang lengkap serta menepati piawaian antarabangsa perlu dijalankan terhadap produk tersebut supaya bukti-bukti tuntutan tersebut dapat dinilai dari segi keberkesanan dan keselamatan oleh PBKD. Sehingga kini, belum ada sebarang produk tradisional/suplemen kesihatan yang didaftarkan dengan PBKD untuk merawat demam denggi.

Sumber : http://kpkesihatan.com/2016/01/30/kenyataan-akhbar-kpk-30-jan-2016-isu-daun-betik-yang-mengandungi-bahan-kimia-yang-memudaratkan-produk-penawar-demam-denggi/