Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2536) UTUSAN – 01/04/2015 – Kaji Semula Caj GST Transaksi Pengeluaran Wang Bank Berbeza
03 Apr 2015

KUALA LUMPUR 31 Mac – Kerajaan digesa membatalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ke atas caj transaksi pengeluaran wang menerusi mesin pengeluaran wang automatik (ATM) antara bank yang berkuatkuasa esok.
Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Samsudin Mohamad Fauzi berkata, caj baharu sebanyak RM1.06 itu memberi kesan terhadap pengguna terutama ketika peningkatan kos sara hidup di negara ini.
Katanya, pelbagai cukai telah dibayar oleh rakyat dan tidak salah sekiranya perkhidmatan transaksi pengeluaran wang menerusi mesin ATM antara bank mendapat pengecualian.
“Perkhidmatan mesin ATM disediakan bagi memudahkan orang ramai melakukan transaksi pengeluaran wang tetapi dengan peningkatan caj sebanyak enam peratus menyebabkan mereka terbeban terutama di kawasan yang tidak mempunyai banyak mesin ATM. 
“Peningkatan caj perkhidmatan yang dikenakan memberi impak kepada mereka yang tinggal di kawasan kurang kemudahan mesin ATM, mereka akhirnya dikenakan caj kerana menggunakan mesin ATM bank berbeza,” katanya yang dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. 
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, caj sebanyak enam peratus itu dikenakan bagi perkhidmatan tersebut adalah tidak wajar kerana akan membebankan pengguna.
Katanya, pihak bank tidak akan mengalami kerugian sekiranya mengekalkan caj yang lama tanpa mengenakan caj tambahan GST malah ada sesetengah syarikat langsung tidak mengenakan GST terhadap perkhidmatan mereka. 
“Saya cukup terkilan dengan sikap segelintir pihak yang suka mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan berlebihan terutama dengan pelaksanaan GST. 
“Oleh sebab itu, pengguna perlu memainkan peranan penting agar tidak merugikan diri sendiri. Contohnya, mereka hanya perlu mengeluarkan duit dengan menggunakan bank yang sama bagi mengelakkan caj dikenakan,” katanya.