PENGGUNA diingatkan supaya tidak terlalu ghairah
mengejar jualan harga runtuh sehingga hilang pedoman dan boleh mengakibatkan
mereka kerugian pada masa akan datang.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM),
Datuk Nadzim Johan berkata, jika sikap boros itu tidak dibendung, ia akan
menyebabkan pengguna akan terus dihimpit dengan bebanan lain.
“Sebagai contoh, oleh sebab hendak kejar tawaran harga murah
ketika musim tertentu seperti perayaan, lama kelamaan, terpaksa pakai kad
kredit kerana tiada tunai di tangan. Bila hutang kad kredit semakin tinggi dan
tidak mampu dibayar, kita sendiri yang akan merana.
“Justeru, kita kena jadi pengguna yang bijak terutama jika
ia melibatkan soal perbelanjaan dan meneliti setiap barang yang hendak dibeli
supaya tidak tertipu,” katanya.
Beliau berkata, pengguna juga dinasihatkan agar tidak mudah
terpengaruh dengan iklan atau promosi yang dibuat di premis perniagaan sehingga
menjerat diri sendiri.