Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2560) MALAYMAIL ONLINE – 11/2/16 – GAJI RENDAH, 12 PERATUS PENJAWAT AWAM TERJEBAK DENGAN “ALONG”
13 Feb 2016

Penjawat awam yang terperangkap dengan ceti haram ramai bergaji kurang RM3,000 setahun. — Foto Reuters

Penjawat awam yang terperangkap dengan ceti haram ramai bergaji kurang RM3,000 setahun 
KUALA LUMPUR, 11 Feb — Gaji rendah, peningkatan kos sara hidup merupakan faktor lebih 150,000, iaitu 12 peratus daripada kakitangan awam terperangkap dengan hutang ceti haram atau “Along” sejak tahun 2012, kata Kongres Kesatuan Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).
Presidennya Datuk Azih Muda berkata, anggaran itu dibuat berdasarkan kajian rambang, kebanyakannya melibatkan pekerja bergred rendah 40 dan kebawah dengan gaji kurang daripada RM3,000 sebulan.
“Mereka ini terdiri daripada anggota keselamatan, kakitangan pihak berkuasa tempatan, kakitangan hospital dan kelompok bergaji rendah.
“Bayangkan kalau anggota keselamatan pun terbabit dengan Along, bagaimana mereka ini hendak fokus dalam hal menjaga keselamatan negara?” katanya dipetik laporan Harian Metro, hari ini.
Katanya, golongan ini paling banyak meminjam dengan ceti kerana duduk dalam kelompok sukar mendapat kenaikan pangkat.
“Apabila tidak ada peningkatan dalam kerjaya, motivasi kurang, gaji tidak cukup dan saraan bertambah, mereka inilah yang cenderung meminjam Along,” katanya.
Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) merekodkan lebih 2,000 kes penjawat awam dikejar Along dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, paling ramai adalah anggota keselamatan, diikuti penguatkuasa dan guru.
“Mereka ini menjadi sasaran Along kerana mempunyai pendapatan bulanan yang tetap serta mudah diugut.
“Dalam kebanyakan kes, mangsa diugut menjelaskan hutang dengan kadar faedah yang tinggi.
“Jika gagal membayar mengikut jadual atau atau jumlah sepatutnya, peminjam akan diugut berdepan dengan ketua jabatan atau pihak atasan,” katanya dipetik akhbar itu lagi.
Sumber : http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/berita/article/gaji-rendah-12-peratus-penjawat-awam-terjebak-dengan-along