Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2619) SINAR HARIAN – 06/05/15 – Persatuan Pengguna Sokong Formula Beli 10 Dapat 10
06 May 2015

KUALA LUMPUR – Usaha Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek untuk memastikan pengguna dapat menikmati pembelian kad tambah nilai prabayar telefon dengan formula ‘beli RM10, dapat RM10’ disambut baik persatuan-persatuan pengguna.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan menyambut baik usaha itu kerana memperlihatkan formula berkenaan wajar dan adil.

Katanya ini kerana sebilangan besar pengguna yang membeli kad tambah nilai prabayar merupakan golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana.

“Sepatutnya memang macam itu, kita beli RM10, kita kena dapat nilai RM10, itu baru adil dan saya yakin pengguna juga akan terima baik sekiranya syarikat telco menerima tawaran itu.

“Sebab yang pakai kad prabayar ini kebanyakannya pelajar sekolah, penuntut  universiti, dan orang yang tidak mampu menggunakan perkhidmatan pascabayar,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca) Datuk Paul Selvaraj turut bersependapat bahawa formula itu adalah tepat bagi menjaga kepentingan pengguna.

Selvaraj berkata beliau menyokong usaha Ahmad Shabery untuk merealisasikan formula itu yang pastinya akan diterima baik oleh semua orang.

“Saya sokong 100 peratus usaha itu, dan saya yakin para pengguna akan sokong formula tersebut. Ia tidak merugikan sesiapa, yang penting kerajaan mesti menjaga kebajikan pengguna,” katanya.

Ditanya jika syarikat telekomunikasi enggan menerima formula itu, Selvaraj berkata kerajaan perlu mengambil tindakan tegas dalam mengatasi isu kemelut kad prabayar ini dan menggunakan apa jua kuasa untuk merealisasikannya.

“Dalam perkara ini, kerajaan kena tegas, dan jangan asyik ikut apa kemahuan syarikat-syarikat telco kerana yang penting kehendak dan kebajikan rakyat mesti didahulukan,” katanya.

Semalam, Ahmad Shabery mengumumkan bahawa beliau akan akan berusaha agar pembelian kad tambah nilai prabayar telefon menggunakan formula ‘beli RM10, dapat RM10’ dalam program Edisi Khas ‘Suara Kita Hak Kita’ terbitan RTM yang disiarkan secara langsung di TV1.

Katanya pendirian itu akan diketengahkan dalam pertemuannya dengan peneraju syarikat-syarikat telekomunikasi di negara ini sebelum dibawa ke Kabinet untuk keputusan selanjutnya. – Bernama

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/hiburan/persatuan-pengguna-sokong-formula-beli-10-dapat-10-1.386924