Maamor Osman
Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Ma’amor Osman berkata, wang pendahuluan perumahan merupakan kekangan utama rakyat untuk memiliki rumah sendiri walaupun kerajaan menyediakan rumah mampu milik selain sikap tamak individu yang berkemampuan membeli lebih daripada sebuah rumah tanpa memikirkan nasib orang lain.
“Semua pihak perlu terlibat iaitu kerajaan negeri menyediakan tanah kos rendah untuk pembinaan rumah manakala pemaju yang berkemam­puan sama ada pihak swasta atau kerajaan sendiri dan pembiaya memberi peluang pinjaman tanpa wang deposit kerana kebanyakan pembeli menghadapi masalah dalam menyediakan wang pendahuluan sebanyak lima peratus.
“Rumah yang disediakan juga seboleh-bolehnya telah siap dibina supaya pembeli mendapat jaminan mendudukinya, pada masa ini pembinaan rumah sering terbengkalai menyebabkan rakyat bimbang untuk membeli dan memiliki rumah sendiri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meminta Kerajaan Pusat dan Bank Negara mengkaji semula polisi pemberian pinjaman perumahan terutamanya melibatkan pembelian rumah mampu milik bagi membolehkan lebih ramai rakyat memiliki rumah sendiri.

Mohamed Khaled ketika membuat gesaan itu berkata, majoriti daripada 85,000 pemohon Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) memaklumkan mereka menghadapi masalah mendapatkan pinjaman perumahan dan isu tersebut perlu diatasi segera.
Mengulas lanjut, Dr. Ma’amor memberitahu, pembeli tidak akan mempunyai masalah dalam pembayaran pinjaman perumahan kerana mereka mampu menyewa rumah yang berharga RM600 sehingga RM800, malah pihak bank boleh memanjangkan tempoh pembayaran balik atau mengurangkan kadar faedah berbanding menetapkan bayaran deposit.
“Bagi membayar deposit itu, rakyat terpaksa mengumpul duit, kalau sebulan RM100, dalam tempoh 20 tahun pun belum tentu mereka mampu.
“Pihak bank juga diharapkan memberi peluang kepada peminjam untuk membayar lebih daripada bayaran pokok supaya kadar faedah dapat dikurangkan kerana kadar tersebut dikira setiap hujung bulan dan dapat dikurangkan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau meminta supaya kerajaan menguatkuasakan peraturan agar tiada individu yang sudah memiliki rumah me­lakukan pembelian lagi sebaliknya memberi peluang kepada pemohon baharu.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), Muhammad Sha’ani Abdullah berkata, kerajaan Johor perlu mengikuti langkah pihak berkuasa tempatan (PBT) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menggunakan konsep sewa beli bagi memudahkan rakyat memilikinya.
“Kerajaan juga boleh menggunakan pendekatan subsidi perumahan bagi membantu rakyat dengan menyediakan peruntukan untuk rakyat membeli rumah supaya nasib mereka terbela, namun pemberian itu harus melalui fasa dan saringan tertentu supaya individu yang benar-benar layak sahaja dapat memilikinya,” kata beliau.