SHAH ALAM – Kerajaan digesa bertindak tegas dan menarik semula lesen syarikat telekomunikasi yang mengaut keuntungan berlebihan sehingga menekan pengguna.
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Dr Ma’amor Osman berkata, isu GST bagi kad tambah nilai prabayar gagal diselesaikan sehingga kini kerana sikap tamak syarikat komunikasi.
“Komunikasi melalui telefon adalah satu keperluan, sebab itu syarikat telekomunikasi ambil kesempatan. Kalau kerajaan tidak tegas siapa yang boleh bela rakyat?
“Jadi kerajaan perlu lebih tegas dengan menamatkan lesen mereka atau beri lesen baharu kepada syarikat yang boleh berikan tawaran lebih baik pada pengguna,” katanya.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek baru-baru ini mengumumkan kerajaan bersetuju kadar kad tambah nilai prabayar ditetapkan pada harga RM10 dan bukan lagi RM10.60.
Bagaimanapun, pengguna masih lagi dikenakan caj GST berdasarkan penggunaan sementara syarikat telekomunikasi diberi tempoh enam bulan untuk menguatkuasakan sistem baharu itu.
Menurut Ma’amor, keadaan itu tidak membantu meringankan beban pengguna malah lebih menguntungkan syarikat telekomunikasi.
“Kerajaan sudah uar-uarkan yang selepas GST, harga akan lebih murah, tetapi sebaliknya berlaku, jadi kerajaan jangan berlembut dengan mereka lagi kerana mereka tidak hormat pada kerajaan,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, beliau menasihati pengguna agar membuat pilihan yang bijak memandangkan terdapat beberapa cara lain boleh digunakan untuk berjimat.
“Pengguna boleh kembali kepada talian tetap atau pasca bayar.
“Kemudahan komunikasi dalam talian juga semakin meluas hari, jadi boleh gunakan cara tersebut untuk berhubung,” katanya.