TERHARU membaca mengenai seorang mufti besar dari Arab Saudi yang dilaporkan teresak-esak dalam sebuah program televisyen baru-baru ini apabila menerima soalan melalui telefon daripada seorang saudara Islam dari Somalia.
Soalan itu berbunyi: “Adakah puasa kami di Somalia sah dan diterima ALLAH, sedangkan kami tidak dapat bersahur dan berbuka?”.
Tentu pembaca budiman sedia maklum kenapa ia sangat menyentuh perasaan mufti itu.
Saya yakin apa yang berlegar dalam fikiran mufti itu adalah betapa jutaan manusia di merata dunia bersuka-ria makan minum secara membazir, sedangkan ramai lagi hamba ALLAH di muka bumi ini yang tidak ada apa pun untuk dimakan, bahkan mati kerana lapar.
Somalia adalah antara 10 negara termiskin di dunia. Negara Islam di Afrika ini kehilangan lebih daripada seperempat juta rakyatnya akibat kelaparan.
Menurut statistik, 43 peratus daripada kira-kira 10 juta rakyat Somalia hidup dalam kemiskinan.
Kemunduran dan kemiskinan di Somalia berlaku disebabkan beberapa faktor, antaranya, tiada kerajaan pusat yang aktif, persengketaan dalaman, dan bencana alam seperti banjir dan kemarau.
Sesuai dengan Ramadan al-mubarak ini, ada baiknya kita teliti semula tabiat makan, perbelanjaan dan sikap pembaziran di negara kita sendiri, serta cari jalan penyelesaiannya.
Percaya atau tidak, kajian membuktikan rakyat Malaysia membuang makanan sehingga 8,000 tan atau lapan juta kilogram sehari dan jumlah itu mampu menampung bekalan makanan untuk enam juta orang, lebih separuh penduduk Somalia.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Datuk Ab Rahim Md Noor kos pengurusan sisa pepejal, termasuk makanan yang dibuang, melibatkan berbilion ringgit.
Beliau berkata peratusan komposisi sisa makanan didapati meningkat 15 hingga 20 peratus pada musim perayaan.
“Sisa makanan adalah komponen tertinggi dalam skala komposisi sisa pepejal, pada 45 peratus, malah kos perbelanjaan untuk pengurusan sisa-sisa pepejal di negeri-negeri bawah seliaan pihak kami mencecah RM1.6 bilion tahun lepas.
“Perkara ini amat membimbangkan dan dengan itu kami akan melancarkan Program Transformasi Minda Oktober ini untuk mengubah minda masyarakat supaya tidak membuang makanan sesuka hati,” katanya kepada media tidak lama dahulu.
Dalam usaha menangani sikap pembaziran oleh sebahagian rakyat negara ini yang amat membimbangkan itu, kerajaan diminta mewujudkan dasar bagi mengenakan denda kepada mereka yang membuang makanan dalam kuantiti yang banyak.
Menurut Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, faktor buffet menyumbang kepada pembaziran kerana banyak makanan yang tidak diusik dibuang begitu sahaja.
“Kita kena contohi negara maju seperti Jepun. Mereka amat menghargai nilai makanan itu sehingga dalam konsep buffet mereka, sesiapa yang mengambil makanan berlebihan dan tidak habis dimakan boleh dikenakan denda dengan mengikut berat sisa makanan yang tidak dihabiskan,” katanya.
Dasar seperti itu nampaknya memang wajar digunakan terhadap semua pihak berkaitan, termasuk pengusaha kedai makanan, hotel dan industri makanan, bahkan orang awam yang didapati terlibat dalam tabiat pembuangan makanan dalam kuantiti yang banyak.
Dalam keadaan ekonomi dunia yang mencabar hari ini, segala tindakan wajar perlu diambil bagi mengelak pembaziran dan ketirisan yang semuanya membebankan rakyat dan negara.
Kenaikan harga petroleum, tarif elektrik, harga barang dan lain-lain sudah pasti akan melonjakkan kos sara hidup rakyat.
Laporan terbaru menyebut kira-kira 90 peratus tenaga kerja rakyat Malaysia tidak mampu menanggung perbelanjaan tambahan ekoran pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Menurut kaji selidik laman web sumber pekerjaan Jobstreet.com. 24 peratus responden berdepan masalah perbelanjaan, malah sebelum GST dilaksanakan 1 April lalu lagi.
Beban hutang kepenggunaan itu juga banyak mengubah rutin responden, apabila lebih separuh daripada mereka, iaitu 56 peratus, mengurangkan tabiat keluar makan tengah hari dengan rakan sepejabat.
Kira-kira 47 peratus mula membawa bekal dari rumah, ada yang berkongsi kereta dan makan di pantri untuk jimatkan perbelanjaan.
Tindakan yang menjimatkan seperti itu perlu konsisten jika kita tidak mahu terjebak dalam pembaziran, dan bebanan hidup.
Sumber: http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/farush-khan/denda-mereka-yang-bazir-makanan-1.406402