Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2733) METRO – 2/7/2015 – BAZIR WANG IKUT SELERA
02 Jul 2015

SHUHADA MANSOR akui memang gembira dapat berbuka puasa beramai-ramai. Tidak salah meraikan Ramadan bersama keluarga dan rakan, tetapi jangan terlalu teruja hingga lupa perkara sepatutnya.
Sibuk dengan rutin kerja selain mahu bergembira dengan rakan membuatkan kita memilih untuk berbuka di luar berbanding masak sendiri. Sama ada membeli juadah di bazar Ramadan atau menempah meja di hotel untuk pakej bufet, kita perlu elakkan pembaziran.
Perkara biasa apabila selera dan keinginan berbeza ketika Ramadan. Ditambah pula dengan pelbagai menu dan tarikan juadah, tidak mustahil untuk kita ‘pejam mata’ mengenai perihal harga.
Meskipun ada sajian bufet di hotel eksklusif mencecah RM200 seorang, ada yang mengambil sikap bersahaja dan bayar tanpa fikir panjang.
Persoalannya, sejauh mana anda sanggup mengeluarkan belanja untuk menjamu selera di luar semata-mata untuk memenuhi selera?
Terpengaruh iklan
Sama ada dalam media sosial, surat khabar bahkan papan tanda di jalan raya akan dipenuhi dengan iklan bufet Ramadan. Mungkin bagi remaja yang masih bersekolah belum ada keinginan untuk mencuba, tetapi meminta ibu bapa membawa anda ke sana. Namun bagi Gen Y yang sudah bekerja dan mempunyai duit sendiri, adakah anda mudah tunduk dengan selera sendiri?
Penulis faham, tawaran makanan dengan kepelbagaian harga berlainan ditawarkan dalam talian. Kupon elektronik antaranya dapat mengaburkan rasa ragu terhadap harga ditawarkan kerana disertakan diskaun.
Dalam hal ini, pernahkan anda terfikir RM150 ringgit dibelanjakan untuk satu sesi berbuka dapat menampung perbelanjaan berbuka dengan membeli di bazar selama seminggu?
Tidak salah jika hanya sekali mencuba, tetapi apa yang penulis tekankan adalah anda yang obses mencari bufet menarik sepanjang bulan puasa.
Menu tarik cita rasa
Banyak restoran serta hotel berlumba-lumba menyediakan pelbagai promosi bufet juadah berbuka puasa bermula 1 Ramadan sehingga penghujungnya.
Bagaikan pesta makanan tentu saja banyak juadah dihidangkan dengan pelbagai tema daripada masakan kampung, menu Barat, Timur Tengah mahupun Cina.
Itu isu di hotel, di bazar pula, menu tradisional yang mampu mengingatkan kita di kampung halaman akan menarik pelanggan membeli. Dek turutkan selera, bukan hanya satu, tetapi ada yang membeli lebih tiga juadah berbeza untuk berbuka.
Bercakap mengenai harga, sikap sesetengah pengusaha hotel yang mengambil kesempatan ketika Ramadan untuk mengaut keuntungan melampau cukup dikesali. Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Dr Maamor Osman baru-baru ini menjelaskan, pihak hotel tidak memahami falsafah Ramadan iaitu bulan berjimat-cermat.
Tiada salahnya menawarkan harga munasabah. Keuntungan tetap boleh diraih bahkan meningkatkan jumlah pelanggan yang datang. Sudah tiba masanya untuk pihak berkuasa mengeluarkan garis panduan bagi menetapkan harga siling bufet Ramadan agar pihak hotel tidak mengambil kesempatan dan meletakkan harga bufet sesuka hati.
Peka status halal dan kebersihan
Membelanjakan wang mengikut selera mungkin isu berbeza, tetapi ia boleh dikaitkan dengan isu sijil halal kerana membabitkan makanan. Memandang serius isu ini, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata, premis perniagaan makanan yang tiada sijil halal dan menggunakan istilah ‘buffet Ramadan’ boleh dikenakan denda maksimum RM1 juta di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Takrifan Halal).
Bagi penulis, isu sijil halal adalah perkara serius yang perlu kita teliti. Bukan hanya di hotel, bahkan isu kebersihan makanan di bazar juga perlu dititikberatkan.
Mohd Nizar menambah, pengusaha premis makanan diingatkan agar mendapatkan sijil halal dan mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan Jabatan Agama Islam Negeri atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) jika mahu menggunakan ‘buffet Ramadan” untuk promosi juadah berbuka puasa.
Beliau turut menggesa orang awam untuk lebih berhati-hati dan peka mengenai helah yang digunakan pengusaha makanan melalui iklan bagi mempromosi juadah berbuka puasa.
“Orang ramai boleh membuat semakan dengan melayari laman sesawang rasmi sistem pensijilan halal Malaysia, MYeHalal,” katanya

Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/61309