KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa diminta menyiasat dan mengkaji sekiranya kandungan kimia ‘shisha stick’ mengandungi bahan menyebabkan ketagihan kepada pengguna sama seperti dadah.
 
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, perkara itu tidak harus dipandang ringan walaupun masih tiada undang-undang berkaitan larangan mengguna ‘shisha stick’ itu.
 
Beliau melahirkan kebimbangan jika alat itu menyebabkan ketagihan seperti dadah, maka angka 1.2 juta penagih di negara ini akan bertambah.
 
“Pihak kementerian kesihatan dan AADK (Agensi Antidadah Kebangsaan) perlu segera mengkaji dan membuat keputusan mengenai isi kandungan shisha stick ini sebelum ia lebih ramai menggunakannya,” katanya ketika sidang media di Pertandingan Pengucapan Awam sempena Hari Kebangsaan di Universiti Tun Abdul Razak di sini, hari ini.
 
Dalam laporan Bernama mendapati ‘shisha stick’ menjadi trend selepas rokok elektronik atau ‘vapor’ di kalangan golongan remaja kerana ia dipercayai mengandungi bahan menyebabkan ketagihan.
 
Lebih membimbangkan, alat itu berbentuk seperti pen dalam pelbagai warna menjadikan ia mudah disembunyikan pelajar sekolah dengan harga mampu milik iaitu, RM17 hingga RM20. – Bernama