Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2856) MENINGGAL DUNIA KETIKA MENGIMAMKAN SOLAT SUNAT AIDILADHA
25 Sep 2015

Selama ini tugasnya sebagai imam dilaksanakan dengan penuh dedikasi dan sifatnya yang mudah mesra selain suka menolong orang amat disenangi oleh penduduk Kampung Temeris dekat sini.
Hari ini, A. Karim Ismail, 66, menyahut panggilan Ilahi ketika sedang melaksanakan tugas yang amat dicintainya iaitu mengimamkan solat sunat Aidiladha di masjid kampung itu kira-kira pukul 8.30 pagi.
Kejadian berlaku ketika dalam tahiyat akhir apabila A. Karim tiba-tiba rebah ke sebelah kiri dan tidak sedarkan diri.
Beberapa jemaah kemudiannya menghantar imam berkenaan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah di sini untuk pemeriksaan sebelum pihak hospital mengesahkan A. Karim sudah meninggal dunia.
Tugas imam kemudiannya digantikan oleh bilal masjid itu, Sadri Omar yang kemudiannya membaca khutbah Aidiladha.
Anak imam berke­naan, Amran, 40, ber­kata, semasa tahiyat akhir, bapanya terbatuk dan tiba-tiba tu­buhnya tumbang ke kiri.
“Pagi tadi ayah tercari-cari jubah putih kesayangannya untuk pergi ke masjid. Kami sekeluarga turut mencari pakaian itu tetapi tidak jumpa. Ayah kemudian pergi ke masjid bagi menunaikan tugas­nya.
“Ketika tahiyat akhir, ayah tiba-tiba tumbang ke kiri selepas terde­ngar dia terbatuk,” katanya.
Sementara itu Ketua Kampung Temeris, Mohd. Yunus Abdullah, 64, berkata, Allahyarham A. Karim merupakan imam yang sangat dise­nangi penduduk di kampung itu kerana sifatnya yang mudah mesra selain suka menolong orang.
Jenazah A. Karim dikebumikan selepas solat Asar di Tanah Perkuburan Islam Kampung Temeris.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Luqman Abd. Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. – UTUSAN