Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2878) #PPIM GESA KERAJAAN TANGGUHKAN #TPPA SEHINGGA KEPENTINGAN DIJAGA
08 Oct 2015

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa supaya kerajaan tidak memperakui Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) sehingga mengesahkan bahawa semua kepentingan rakyat terjamin.

Setiausaha Agung PPIM, Datuk Dr. Ma’amor Osman berkata beliau tidak mahu melihat TPPA ini mempunyai unsur paksa akibat tekanan daripada kuasa-kuasa besar sehingga kepentingan rakyat diabaikan.
“Kalau boleh TPPA itu biar menguntungkan kita dan tidak mahu ada kegiatan unsur paksa jika ia tidak ditandatangani dalam tempoh sekian negara kita akan disingkirkan, perkara ini tidak adil.
“Kita kena jelaskan kepada rakyat bahawa kita mempertahankan hak rakyat, biar rakyat sendiri yang menyatakan sokongan mereka kepada kerajaan sehingga kepentingan rakyat itu didahulukan baru perjanjian itu dimertai,” tegas
Tambahnya, beliau berasa gusar jika TPPA itu berat sebelah sehingga menyebabkan golongan tertentu terkesan akibat pelaksanaannya.
“TPPA ini tidak boleh sebelah pihak sahaja dan ini dilihat berat sebelah sehingga peraturan-peraturan tertentu boleh dilanggar begitu sahaja kononnya atas dasar persaingan perniagaan dan seumpamanya.
“Saya ingin memberi contoh, lain negara mempunyai kepakaran dan kehebatan di dalam bidang tertentu dan juga kelemahan di dalam bidang tertentu jadi tidak boleh kita hendak sama ratakan semua negara sebab itu perjanjian. Biar lambat masa hendak tandatangan tidak apa asalkan semua kepentingan kita dijaga.
“Seperti ubat-ubatan, kita tidak mahu kos ubatan naik dan akhirnya yang merana dan sengasara adalah orang-orang susah,” katanya.
Sebelum ini Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustafa Mohamed memberi jaminan keprihatinan Malaysia dalam beberapa perkara sensitif di dalam TPPA itu nanti akan dipertimbangkan.
Malah butiran fleksibel akan diberikan kepada Malaysia, termasuk tempoh peralihan lebih panjang dan layanan berbeza bagi perkara yang menjadi sensitif kepada negara.
Mustafa juga menegaskan negara tidak akan patuh kepada perjanjian yang tidak mengikut perlembagaan atau dasar-dasar yang akan menjejaskan manfaat rakyat.

Selain daripada Malaysia, Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam antara anggota yang terlibat dalam rundingan TPPA.
TPPA yang merangkumi perdagangan bebas melibatkan 40 peratus ekonomi dunia itu hanya akan berkuatkuasa selepas Parlimen kesemua 12 negara terbabit dalam rundingan itu meluluskannya.
Antara perkara yang dirundingkan di Atlanta adalah berkenaan industri automotif Jepun, tempoh minimum paten pengeluar ubatan dan sekatan pertanian.
TPPA dirunding selama lima tahun oleh Amerika Syarikat dan Jepun dengan sasaran untuk menghapuskan sekatan perdagangan dengan 10 negara lain yang terlibat. – ANTARAPOS