‘Angkatan Bahaman Temerloh’ membantah kenaikan tol Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak serta mendesak kerajaan mempromosikan segera jalan persekutuan Bentong–Gombak sebagai laluan alternatif pengguna bagi mengelak tol.
Pengerusinya, Abdul Razak Endut berkata, kenaikan kadar tol yang diumumkan beberapa syarikat konsesi termasuk syarikat Anih Berhad yang mengendalikan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak disambut dengan reaksi negatif majoriti rakyat Malaysia.
Menurutnya, kenaikan harga baharu yang bermula dari 30 sen hingga RM3 mengikut kawasan tol-tol yang diselenggara ternyata tidak disenangi majoriti para pengguna tol, terutama pengguna di kawasan antara bandar.
“Ini membebankan khususnya yang akan menggunakan lebuh raya untuk ke tempat kerja, ke bandaraya malah di taman perumahan tiada akses lain untuk keluar kecuali melalui tol,” katanya mengulas isu ini semalam.
Abdul Razak berkata, pelbagai persatuan yang terlibat dalam menjaga kebajikan pengguna seperti Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) antaranya dengan jelas menolak kenaikan harga baharu tol yang dilihat bakal membebankan rakyat Malaysia.
Beliau berkata, rakyat masih dibebani dengan masalah ekonomi, kos sara hidup yang semakin tinggi, kejatuhan nilai ringgit di pasaran antarabangsa serta kadar hutang isi rumah yang semakin meningkat.
“Angkatan Bahaman mendesak pihak kerajaan terlibat secara aktif memohon kepada syarikat ini supaya menangguhkan sementara sehingga kerajaan mengambil langkah-langkah konkrit terhadap beberapa perkara berkaitan.
“Antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah memantau dan menyelenggara dengan lebih rapi penggunaan jalan alternatif sebagai jalan pilihan yang percuma tanpa dikenakan tol.
“Memang jalan alternatif ini sudah ada dibina sejak era kolonial di Tanah Melayu lagi, tapi yang menjadi masalah kini adalah apabila jalan alternatif ini tidak diselenggara dengan baik,” katanya.
Abdul Razak berkata, malah hampir kebanyakan pengguna Lebuhraya Karak tidak mengetahui kewujudan jalan ini kerana kurang promosi untuk menggunakannya.
“Jalan ini juga berisiko kerana tidak diselenggara dengan rapi serta tanah runtuh kerap berlaku terutama pada musim tengkujuh.
“Satu transformasi yang bersungguh terhadap kondisi jalan persekutuan Bentong-Gombak ini haruslah diambil oleh kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat di pantai timur,” katanya. – Sinar Harian