Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
MALAKAT MALL DIBUKA DENGAN DOA – MALAKAT TRIBUNE – 30/04/2020
30 Apr 2020

Moderator: Dr. Taha Omar

Panel: Pengasas Malakat Mall, Coach Mohd. Fadzil Hashim dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan atau Toqqi.

DR. TAHA: Pasca Covid-19, akan tiga perkara besar akan berlaku. Pertama, kadar pengangguran. Pengangguran sekarang ialah 3.2 peratus. Tetapi selepas Covid-19 akan naik kepada 10 hingga 15 peratus. Kedua, KDNK juga akan turun sehingga 40 peratus. Ketiga, ialah food security. Siapa pembekal, siapa pengedarnya? Siapa pula penjualnya. Food security is king! Boleh Coach ulas?

COACH FADZIL: Kita sedia maklum bahawa Malaysia mengimport makanan. Kita merekodkan import bahan makanan lebih 50 bilion setahun. Kalau kita import barangan yang tiada di Malaysia, itu memang tiada masalah. Tetapi, 50 peratus daripada bahan yang kita import itu sebenarnya boleh dihasilkan dalam negara kita.

Ketika membentangkan pelan kami kepada Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, kita mencadangkan pendekatan agar barangan yang kita ada, tidak perlu diimport. Sebaliknya kita wujudkan peluang untuk usahawan baharu.

Strategi Mengekang Pengangguran

Kalau kita tidak buat apa-apa yang strategik, melainkan menerima sahaja skim bantuan kerajaan, moratarium enam bulan, dapat pinjaman dengan kadar faedah 0 peratus sekadar untuk hidup, pengangguran akan meningkat.

Tetapi sekiranya kita ambil tindakan untuk mewujud peluang-peluang baharu, maka sebenarnya bukan kita boleh kurangkan impak, malah menjadi lebih hebat. Jadi kalau pengangguran sekarang 3.2 peratus dan diunjurkan pertambahan 10 hingga 15 peratus, mereka yang diberhentikan ini harus diserap ke dalam peluang pekerjaan yang baharu.

Ini yang kita bentangkan ke pihak kementerian. Pihak kementerian sudah terima cadangan kita. Cuma dengan sokongan kerajaan, ia akan menjadi kebih cepat.

Dalam rancangan kita untuk mengatasi masalah food security, kita telah membina satu pelan 222 ladang komuniti. Kita akan buat pembentangan untuk umumkan rancangan mewujudkan satu sistem ekonomi Islam yang baharu yang kita panggil Raudhah Economy.

Cuma dalam food security itu, kita sedang perincikan perancangannya. Kita sudah buat projek pilot projek ladang ayam organik. Bukan untuk menjadi pesaing kepada peladang sekarang. Kita akan utamakan peladang yang sedia ada terlebih dahulu.

Bagaimana pun mereka terlalu kecil berbanding dengan kehendak pasaran. Macam mana kalau kita tak ada pasar? Kita kena ambil ibrah Nabi Muhammad SAW. Bila baginda berhijrah, baginda tak berniaga di pasar Yahudi. Tetapi di pasar Islam yang dibina. 

Malakat Mall Dibuka Dengan Doa

Kita dapat buka Malakat Mall, bukan kerana kita hebat, tetapi Allah yang izinkan berkat doa manusia. Ramai yang berdoa seperti doa Ustaz Mazridzi dan kumpulannya dari sekolah-sekolah tahfiz. Apabila Allah gerakkan manusia, Malakat Mall jadi lambang kebangkitan.

Bila orang datang mereka berasa teruja. Cuma kita yang berasa serba tak lengkap. Dalam keadaan kekurangan itupun, orang lain melihat ia hebat. Bayangkan betapa KSU Kementerian Usahawan terlafaz nama Malakat Mall dalam mesyuarat. Ia sesuatu yang bukan senang terjadi.

Beliau panggil semua ketua-ketua agensi di bawah kementerian untuk mendengar pembentangan kami. Dia beri tempoh seminggu untuk kita duduk bersama pihak kementerian di war room mereka. Apabila kami bentangkan pihak kementerian setuju dengan inti pembentangan dan terus ingin sama-sama melaksanakannya.

Semua Kerana Bantuan Allah

Kita melihat bahawa Allah dah tunjukkan bahawa kita telah banyak kali menang. Allah bagi Malakat Mall, ahli KoPPIM (Koperasi Pembangunan Islam Malaysia) yang pada mulanya 30 orang sudah menjadi berbelas ribu walaupun belum aktif sepenuhnya.

Suruhanjaya Pembangunan Koperasi sendiri melihat KoPPIM sebagai sebuah koperasi yang mampu menyelamatkan umat Islam khususnya di negara kita untuk keluar dari sistem riba. Inilah yang kita ingin bina, sistem ekonomi tunai.

Kalau seseorang itu berhutang pun dia tak akan berhutang dengan cara riba. Kalau kita beri pinjaman pun ia tidak langsung menggunakan asas riba. SKM (Suruhanjaya Koperasi Malaysia) sendiri amat yakin dengan pelan yang kita ada. Jadi, dari segi food security ini peluang sebenarnya. Kita tak perlu tunggu nak siap ladang baharu, baru hendak mulakan.

Syarikat Berpengalaman Datang Membantu

Untuk fasa pertama, kita luaskan RGX (Raudhah Grocer Express). Kita boleh buka satu dalam seminggu. Kita sedang cari gudang, perisian rantaian bekalan dan pengurusan ladang. Tiba-tiba Allah hantar FGV Transport yang boleh buat semua. 

Mereka adalah bekas syarikat Unilever yang cukup berpengalaman dalam mengurus fast moving consumer goods (FMCG). Mereka sedang buat untuk Felda. Mereka ada gudang yang bolegh terus diaktifkan. Kita sedang menyelaras bentuk kerjasama dengan mereka.

Ini bantuan-bantuan Allah untuk mempermudahkan. Kita hanya perlu pengusaha-pengusaha umat Islam. Sesiapa yang ingin, boleh datang sekarang ke Raudhah Distribution Centre untuk kita ambil barangan.

Kita sedang bina model pembelian secara tunai. Ini belum pernah berlaku. Dalam sebulan dua ini kita akan wujudkan sistem yang mana kita boleh bayar tunai kepada pembekal yang terpilih. Kita bertanggungjawab untuk mengedarnya ke cawangan-cawangan Raudhah Grocer di seluruh negara.

DR TAHA: Apakah rumusan dan harapan Toqqi berhubung dengan Covid-19 ini? 

TOQQI: Di zaman guru hara ini, kita akan berdepan dengan norma baharu. Kita perlu kembali pada kita sendiri dan ambil ini sebagai cabaran untuk kita berubah. Toqqi biasa ditanya oleh kawan-kawan Cina sewaktu sekolah. Mereka bertanya kenapalah orang Melayu teruk. 

Orang Lain Sentiasa Persoal Kita

Sewaktu di sekolah, saya selalu ditanya oleh kawan-kawan Cina persoalan-persoalan mengenai keistimewaan bangsa Melayu sejak di sekolah rendah. Kerana itu kita kena perkasakan diri kita. Orang kita pun tak faham mengenai agamanya. Bila orang tanya, kita tak pandai menjawab.

Kalau yang ada ilmu tak pandai menjawab, inikan pula kita yang tiada ilmu. Jadi kita kena perkasakan diri kita untuk berbuat sesuatu sekarang. Kalau kita tidak ubah, tiada sesiapa pun yang boleh ubah mengubah kita.

Kerana itu, kita kena lancarkan BB atau Budaya Baharu. Budaya Baharu adalah sesuatu yang mengubah sistem kita. Sudah 62 tahun kita berpegang kepada budaya dan akhlak yang buruk. Kita perlu berubah dengan kesedaran yang luar biasa.

Kita Gagal Kerana Orang Kita Tak Jaga

Saya nak kongsi sesuatu. Tak lama dahulu ada sebuah syarikat yang membekal pekerja keselamatan kepada sebuah syaikat yang besar. Caj bulanannya hampir RM200,000. Pada mulanya bayarannya baik. Tetapi lama kelamaan bayarannya semakin lambat. 

Pembekal ini terpaksa meminjam dari bank. Bila meminjam dari bank, kita dah mula berperang dengan Allah dan Rasul. Pegawai di pihak syarikat besar itu pula menginginkan habuan buat dirinya sebelum membuat pembayaran.

Dalam pada itu, pinjaman bank pula bermasalah kerana dia belum menerima bayaran. Akhirnya dia meminjam dari ah long! Hal ini tak susah sebenarnya. Sekiranya syarikat besar itu membayar, syarikat pembekal tidak akan mempunyai masalah seberat itu.

Bisnes Jalan, Duit Tak Dibayar

Pembayaran lambat adalah di antara penyakit paling dahsyat dalam masyarakat kita. Syarikat boleh bankrap berjuta kerana tiada bayaran. Mengapa kita bankrapkan syarikat Melayu? Inilah yang patut berubah.

Satu lagi sikap ialah mengambil kesempatan. Baru-baru ini ada seorang usahawan yang mendapat geran berjumlah RM3 juta untuk kontrak pembersihan sungai. Kebanyakan pihak berkuasa pula tidak mahukan khidmat itu. Bayangkan… Operasi orang kita kadang-kadang lebih teruk daripada orang bukan Islam.

Produktiviti kita juga perlu diperbaiki. Bila kita tidak cukup masa bekerja, bagaimana kita hendak bawa rezeki itu kepada keluarga? Jadi kita kena jadi seseorang yang punyai jati diri dengan tidak meminta-minta.

Sekolah Tahfiz Yang Tak Bersih

Baru-baru ini ada seseorang yang mengambil sub-kontrak untuk sebuah bangunan yang hendak siap. Pekerjanya ada 1,000 orang. Tetapi dia tidak menerima bayaran sejumlah RM1 juta. Itulah kezeliman. Tetapi hal ini boleh selesai dengan satu panggilan telefon. Tetapi ini tidak dapat dilakukan.

Satu lagi contoh, kawan saya membersih lebih daripada 200 tahfiz. Menurutnya, hanya 6 atau 7 tahfiz sahaja yang bersih. Yang lain semuanya kotor. Di manakah nilai Islam kita?

DR. TAHA:  Apakah pandangan dan nasihat daripada seorang usahawan dan pejuang ekonomi kepada penonton?

COACH FADZIL: Saya ingin ingatkan kepada sahabat-sahabat perjuangan, bahawa syer yang hendak kita ambil alih ialah dari syarikat asing, bukannya dari syarikat tempatan. Ada yang berkata ini terlalu optimis dan tak mampu. Terdapat juga yang memberi reaksi negatif seperti kail yang panjang sejengkal, dan macam-macam.

Orang Kita Menyokong KoPPIM

Rasulullah SAW membawa agama ketika umatnya sangat lemah. Dalam konteks kita pula keadaan kita makin baik. Tapi, ada juga yang berpandangan, kita tidak boleh buat, tetapi orang lain boleh buat. Kalau bangsa lain nak buat, ia diyakini. Kalau kita nak buat ada yang menjangkakan kita akan gagal. 

Kalau orang lain buat nama syarikat ABC pun orang boleh terima. Tetapi kalau kita yang buat, maka banyaklah komen diberi. Teman-teman yang melihat di media sosial perlu diyakinkan. Kalau difikirkan, kita tak mampu hendak membuka mall kerana kerana koperasi belum ada duit.

Tetapi kita buka dahulu dan bertawakal kepada Allah. Bila siap ia menjadi lambang kepada kebangkitan. Ramai orang tua yang datang termasuk dengan kerusi roda. Mereka datang dari sejauh Johor dan Kelantan, membawa wang RM5,000 untuk dilaburkan ke dalam KoPPIM.

Mereka memahami bahawa hidup ini adalah perjuangan. Kita kena faham ‘setiap perbuatan itu bermula dengan niat’. Niat kita ialah mendapat rahmat Allah untuk masuk ke syurga. Bukannya hendak kaya raya di dunia hingga menjadi Qarun dan mati masuk neraka.

Kita hendak kaya dan jadi seperti Abdul Rahman bin Auf atau Uthman bin Affan. Islam bangkit ketika umatnya lemah. Pada hari ini kita lemah. Lemah kerana perangai sendiri. Sebab itu, ini adalah gerakan masa rakyat untuk mempertingkat ekonomi.

Pengguna Jangan Dipergunakan

Sebagai pengguna, kita kena pastikan kita menjadi pengguna yang tidak dipergunakan. Kita kena jadi pengguna yang memiliki sebahagian daripada ekonomi. Kita kena yakin dengan janji Allah dan melihat Covid-19 ini sebagai kad kuning.

Contohnya mengenai riba, apakah kita ada niat hendak keluar daripada sistem itu? Inilah waktu kita kembali kepada sistem Islam di mana kita benar-benar bersaudara. Selama ini kita hanya menyebut tanpa tindakan.

Bangsa Lain Hantar Bunga, Bangsa Kita Hantar Santau!

Bangsa lain buka kedai, orang lain hantar bunga besar-besar, kita pula hantar santau. Saudara apa yang hantar santau! Kita kena hentikan budaya ini. Kita dilantik oleh Allah SWT ke dunia dengan dua peranan iaitu peranan sebagai hamba dan peranan sebagai khalifah. Perangai kenalah macam khalifah. Tapi kita tak boleh sorang-sorang. Kita kena duduk dalam jemaah iaitu KoPPIM.

Kita akan wujudkan Raudhah City di seluruh negara supaya kekuatan kebersamaan itu akan mempercepatkan kejayaan. Itu yang dilakukan Rasulullah SAW. Mereka bersolat bersama, hari-hari bertemu. Sebab itu mereka boleh buat pasar sendiri di madinah.

Mereka boleh tinggalkan kekayaan di Mekah. Rasulullah yang tidak boleh membaca dan menulis, berhijrah dan kemudian membina tamadun yang menjadi asas ilmu di seluruh dunia. Islam mengeluarkan manusia dari kegelapan ‘dark age’.

Yakinlah dengan janji Allah, yakinlah Allah akan beri yang terbaik untuk kita bina sistem ekonomi Islam. Ayuh bersama menjadi saudara pengguna, menjadi saudara pekerja, menjadi saudara usahawan, menjadi saudara pelabur melalui KoPPIM. 

Semoga Allah memberi kita kekuatan hati. Jadilah ahli KoPPIM. Yang telah mendaftar, ambillah peluang membuka perniagaan Virus Buster ini atau peluang perniagaan yang lain. Terus sokong dengan berbelanja di tempat-tempat yang strategik terutamanya Raudhah Grocer dan Malakat Mall.

Semoga Allah memberi kita kekuatan bertindak.

Artikel oleh: Malakat Tribune

MALAKAT MALL DIBUKA DENGAN DOA

http://www.malakattribunenews.com/berita/berita-semasa/12077/