390) BERITA PILIHAN : MASA UNTUK MEMBERI
29 Aug 2011
Oleh Hazlinda Hamzah
KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) — Kanak-kanak yang berkunjung ke rumah sanak saudara, rakan dan rumah terbuka, tentu seronok bila menerima ‘duit raya’ yang dihulurkan tuan rumah.
Ada yang bersampul dan ada yang diberi begitu saja, sama ada duit syiling atau kepingan duit kertas baru.
Bermacam-macam rupa dan warna sampul duit raya yang dikeluarkan sejak ia diamalkan masyarakat negara ini. Ada yang diberi percuma oleh bank, institusi perniagaan, hipermarket dan badan korporat malah turut dijual di kedai alat tulis.
NILAI DUIT RAYA
“Saya hanya memberikan duit raya kepada mereka yang berumur 15 tahun ke bawah. Amaunnya sama saja baik anak kawan maupun anak saudara,” kata Muhammad Nazri dari Sarawak.
Nazri menganggap pemberian duit raya itu terbit daripada rasa keikhlasan.
“Kita bagi bersesuaian dengan keadaan ekonomi semasa. Bukan untuk menunjuk-nunjuk,” jawabnya bila ditanya tentang bajet duit raya yang diperuntukkan Aidilfitri ini.
Sabariah Abdul Rashid, yang berasal dari Kedah, lebih cenderung memberi duit raya mengikut keakraban hubungan.
“Kalau keluarga, bajet kita lebih sikit tapi kalau anak-anak muda yang datang tanpa dikenali, kita tetap terima mereka, mungkin duit raya amaunnya tak sebanyak anak-anak buah.
“Saya berpegang kepada prinsip yang anak-anak buah yang belum bekerja juga masih di bawah tanggungan ibu bapa dan saudara. Jadi tak salah kalau kita bagi mereka duit raya,” kata Sabariah.
SERUPA HONG PAO
Beberapa pelajar di institut pengajian tinggi turut ditanya pandangan mereka mengenai duit raya. Adakah mereka masih mengharapkan diberi duit raya?
Nur Farah Syakila Jasmy berkata, “Umur bukanlah faktor utama. Lebih bergantung kepada si pemberi atau tuan rumah yang kita ziarahi.”
Remaja berusia 18 tahun ini masih berharap dia akan dipertimbangkan untuk menerima duit raya lagi tahun ini. Ini pertama kali Nur Farah jauh daripada keluarga dan merasai belajar hidup sendiri di asrama universiti.
Teman sekuliahnya, Azhif Ezzudin bersetuju dengan pandangan Nur Farah.
“Kenangan saya yang termanis ialah ketika jumlah pengumpulan duit raya saya mencecah lebih RM1,000. Tetapi ada juga yang menyedihkan, bila duit raya zaman kecil dulu, emak gunakan untuk membayar bil,” cerita Azhif.
Ada juga yang merasakan selagi mereka belum berkahwin, mereka boleh diberi duit raya.
Rosli Johnny, 64, berkata amalan memberi duit raya di dalam sampul duit dipengaruhi oleh budaya pemberian ‘Hong Pao’ (Ang Pao) masyarakat Cina semasa menyambut Tahun Baru Cina.
“Seingat saya, amalan sebegini diambil daripada tradisi warga Cina pada Tahun Baru. Biasanya untuk orang Islam, lebih kepada bersedekah,” kata Rosli.
JUMLAH
Nuraina Suryani Ruslan berpandangan bahawa duit raya sesuai diberikan kepada mereka yang belum bekerja, dan sudah pasti dia seronok jika masih diberi duit raya walaupun jumlahnya kecil.
“Saya setuju jika kesederhanaan dijadikan panduan dan bergantung kepada ekonomi tuan rumah,” katanya.
Dhabitah Amirah dari Petaling Jaya dan Eddy Iskandar dari Pulau Pinang sependapat dengan Aina.
“Dapat seringgit pun duit, kita patut bersyukur.
Itukan rezeki namanya,”
Kata mereka, menerima duit raya memang sesuatu yang amat menyeronokkan buat sesiapa saja.
BERSEDEKAH
Menurut Tunku Azwil Tunku Abdul Razak, Pengerusi Majlis Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), duit raya boleh disamakan dengan sedekah atau sumbangan kepada yang memerlukan.
“Janganlah kita memberikan duit raya itu semata-mata untuk menunjuk. Duit raya yang diberikan juga perlu berpatutan dengan kemampuan orang yang memberi,” katanya.
Tunku Azwil berkata orang yang hendak memberikan duit raya mestilah tidak rasa tertekan dengan obligasi sosial dan persekitaran. Kalau diikutkan tuntutan agama Islam, ia tidak lebih daripada satu sedekah yang sepatutnya diberikan pada bila-bila masa.
Beliau menasihatkan mereka yang menerima duit raya supaya membelanjakannya dengan baik atau menabung, daripada membazir membeli benda yang tidak berfaedah.
TUKAR DUIT BARU
Seorang pegawai cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) berkata ramai yang telah datang dan sanggup beratur menukar wang baru di kaunter bank itu untuk dijadikan duit raya.
“Mereka berbuat demikian sejak 22 Ogos,” katanya.
Biasanya ia berterusan untuk beberapa hari sehingga stok duit baru habis.
Seorang pegawai di Bank Al-Rajhi, cawangan Subang Jaya berkata banyak bank yang menyediakan kemudahan kaunter tukaran duit baru kerana menjangkakan ramai yang akan datang terutama dalam seminggu terakhir menjelang Hari Raya.
— BERNAMA
Sumber:
Post Views: 191