Organisasi yang dinamakan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sebagai calon untuk Anugerah Organisasi Tidak Prihatin (OXP) melahirkan rasa “kurang senang” kerana dibariskan dalam senarai tersebut.
Organisasi yang dihubungi Malaysiakini itu juga tidak mengetahui tentang kewujudan anugerah itu dan tidak bersetuju organisasi mereka dicalonkan.
Pengurus pentadbiran pasaraya The Store, Rita Baharudin berkata, beliau bagi pihak pasaraya itu membantah pencalonan tersebut kerana perkara yang dibangkitkan PPIM hanya berpunca daripada “kesilapan teknikal” cawangan pasarayanya.
“Kita tak bersetuju (dicalonkan). Kita tak dapat apa-apa surat. Kita bantah dan akan buat sesuatu.
“Sebelum ini kita ada buat perjumpaan dengan PPIM. Kita sudah beri penjelasan.
“Ia kesilapan teknikal yang dilakukan di beberapa outlet seperti outlet Sri Petaling dan beberapa outlet lain.
“Kami akan berbincang dengan pihak atasan untuk memikirkan apa tindakan selanjutnya,” kata Rita ketika dihubungi Malaysiakini.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johari menamakan pasaraya The Store sebagai salah satu calon penerima anugerah OXP dalam satu sidang media semalam.
Menurut Nadzim, pasaraya The Store dicalonkan kerana sebuah cawangan pasaraya itu didakwa mengadakan promosi air minuman beralkohol sempena bulan Ramadan.
Sementara itu, pasaraya Giant yang turut dinamakan sebagai salah satu calon oleh PPIM pula menyatakan bahawa mereka tidak maklum mengenai perkara tersebut.
“Kita tak maklum tentang benda ini. Saya kena periksa balik,” kata pengurus kanan komunikasi korporat dan perhubungan awam pasaraya itu, Yuswanis Yusof ketika dihubungi.
Selain The Store dan Giant, Nadzim semalam turut menamakan lima lagi organisasi – empat untuk anugerah OXP dan satu lagi syarikat dinamakan sebagai calon anugerah Organisasi Tiada Kemanusiaan (OXK).
Turut dibariskan bersama The Store dan Giant ialah organisasi kewangan Bank Rakyat, firma Malaysian Building Society Berhad (MBSB), penyedia perkhidmatan televisyen berbayar Astro dan agensi tiket, Ticket Charge.
Syarikat Starbucks pula dinamakanya sebagai calon bagi anugerah OXK.
Malaysiakini sedang mendapatkan reaksi daripada lima organisasi tersebut yang dinamakan PPIM.