657) BERITA HARIAN METRO : Pening hutang RM2j
13 Nov 2012
Headline: Pening
hutang RM2j
Byline / Author:
Oleh Intan Mas Ayu Shahimi; Yusmizal Dolah Aling
KUALA LUMPUR: Niat
murni seorang wanita membantu orang lain terutama rakan yang dalam kesempitan
dengan meminjamkan wang, memakan diri apabila dia kini menanggung hutang hampir
RM2 juta.
Ibu kepada 12 anak
yang bertugas sebagai guru di Sabah itu mengaku dia tidak berfikir panjang
apabila menawarkan diri membantu 102 rakan dan kenalannya dengan meminjam wang
daripada tiga ceti haram atau along tanpa pengetahuan suami dan keluarganya.
“Pada awalnya,
saya hanya berniat ingin membantu rakan yang terdesak. Mungkin kerana bahagia
melihat kegembiraan orang lain, saya langsung tidak terfikir niat baik itu
memakan diri,” katanya kesal.
Wanita berasal dari
utara Semenanjung hanya mahu dikenali sebagai Masni, 50, berkata, hidupnya
makin tersepit apabila rakan yang meminjam mula mengadu tidak mampu membayar
semula mengikut jadual dipersetujui sebelum ini, kerana terikat dengan pelbagai
komitmen.
“Bayangkan,
hanya dalam tempoh kurang sebulan pada Jun lalu, saya sudah meminjam RM685,000
daripada ceti untuk membantu 102 rakan dan kenalan.
“Kini setiap
bulan, saya terpaksa mendahulukan wang simpanan untuk menampung jumlah faedah
tiga along sebanyak RM73,000.
“Ada masanya,
saya terpaksa bergolok-gadai dan menebalkan muka meminta pertolongan daripada
anak,” katanya ketika ditemui di pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia
(PPIM) di sini, semalam.
Menurutnya, ketika
ini tidak ada perkara lain yang terlintas dalam fikiran setiap kali bangun
daripada tidur, selain mati.
“Saya
betul-betul menyesal… kenapalah saya sanggup meminjam ceti haram untuk
membantu kawan yang tidak mampu.
“Lebih luluh
perasaan ini apabila seorang daripada anak menyatakan hasratnya untuk menjual
organ tubuh semata-mata untuk membayar hutang dan mengembalikan kebahagiaan
keluarga kami,” katanya.
Masni berkata,
hidupnya kini tidak tenteram apabila dikejar along setiap hari yang mendesak
supaya wang pinjaman termasuk faedah berjumlah hampir RM2 juta dibayar tunai.
“Kalau dulu
perkara ini saya cuba sembunyikan daripada pengetahuan suami, namun ia
terbongkar apabila along menghantar orang untuk mengutip hutang di pintu rumah.
“Malah, kawan
yang meminjam juga terpinga-pinga apabila nama mereka mula dikaitkan sebagai
peminjam along terbabit,” katanya.
Sedar usaha murninya
mula menikam diri, Masni terpaksa mencari jalan untuk bersembunyi, sementara
suaminya mencari jalan untuk menjual tanah pusaka keluarga.
“Lebih teruk,
saya juga pernah terfikir untuk melarikan diri ke New Zealand semata-mata untuk
bekerja dan mencari wang bagi membayar semua pinjaman selain mengelak daripada
diganggu along berkenaan.
“Saya sudah
melihat iklan daripada agensi pekerjaan luar negara, namun selepas berfikir
panjang, saya memutuskan untuk berdepan masalah ini dengan sokongan suami serta
anak,” katanya.
Sementara itu,
Pegawai Unit Tindakan Khas PPIM, Yati Saharuddin berkata, kes berkenaan cukup
unik dan pertama kali diterima pihak persatuan.
“Kami sudah
berbincang dengan mangsa dan kini dalam proses melengkapkan laporan untuk
mendapatkan jumlah sebenar pinjaman ketiga-tiga along.
“Pihak
persatuan juga sudah mengatur satu pertemuan antara keluarga Masni dengan 102
peminjam di bawahnya dan tiga along untuk berbincang mengenai kaedah pembayaran
semula supaya tidak membebankan mangsa,” katanya.
Post Views: 284