669) HARIAN METRO 18/12/12-Bela nasib golongan muflis
18 Dec 2012
KUALA LUMPUR: Tampil
beri kerjasama dan pandangan cari penyelesaian. Itu peluang menanti mereka yang
disenaraihitamkan serta diisytihar muflis terutama golongan muda bagi
mendapatkan kembali hak serta bebas daripada belenggu bankrap.
Menerusi pengumpulan
maklumat di laman sosial facebook dan twitter, Pemuda Umno bersama gabungan
beberapa badan bukan kerajaan (NGO) membawa semua pendapat berkenaan ke
pengetahuan pihak berwajib termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak
serta Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz untuk
pertimbangan selanjutnya.
Menjelaskan perkara
itu, Exco Pemuda Umno, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, pihaknya terpanggil
menggerakkan inisiatif itu berikutan rekod sedia ada menunjukkan lebih 240,000
orang muflis termasuk kakitangan kerajaan dan usahawan tidak mendapat
pembelaan.
Katanya, hasil
pertemuan bersama Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) di Putrajaya baru-baru ini,
terdapat ruang untuk mereka kembali menjalani kehidupan seperti biasa dengan
komitmen kerajaan mengkaji semula Akta Kebankrapan 1967 seperti diumumkan
Perdana Menteri dalam Perhimpunan Agung Umno 2012 lalu.
“Kami mahu
mereka tampil memberikan pandangan serta bekerjasama. Hasil maklumat akan
dibawa kepada pengetahuan pihak berkuasa. Saya yakin, akta baru memberikan
lebih ruang kepada orang bankrap mendapat peluang kedua.
“Difahamkan,
hanya 20 peratus saja berjaya dikenal pasti sementara bakinya tidak
diketahui,” katanya pada Majlis Pelancaran Kempen Muflis @ Bankrap di
sini, semalam.
Hadir sama, Presiden
Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mokhtar Samad dan Ketua Biro
Pemantau Perkhidmatan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Abdul Karim
Said Khadaied.
Sohaimi yang juga
Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan (BePU), Pemuda Umno, berkata,
orang ramai boleh melayari blog www.muflis-peluangkedua.blogspot.com atau
facebook dan twitter Muflis Peluang Kedua bagi tujuan itu.
Post Views: 195