Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
671) HARIAN METRO 211212 : Strategi licik raih untung
22 Dec 2012

KEDATANGAN
musim cuti hujung tahun sememangnya dinantikan, bukan saja di kalangan
kanak-kanak yang seronok bercuti sekolah tapi golongan dewasa yang mengambil
kesempatan menghabiskan baki cuti tahunan dengan berehat atau keluar melancong.

Kala
musim cuti hujung tahun ini jugalah wujudnya bermacam promosi jualan yang nyata
berjaya menarik segenap lapisan masyarakat untuk keluar berbelanja.
Jualan
perayaan, jualan kembali ke sekolah, jualan penghabisan stok serta jualan tahun
baru memang menarik perhatian pengguna terutama bagi yang gemar membeli-belah
barangan berjenama kerana ketika inilah harga yang ditawarkan lebih murah
berbanding biasa.
Biasanya
golongan wanita yang terlebih dulu bergegas menuju ke lokasi jualan kerana
tertarik dengan promosi yang dipaparkan di iklan.
Namun,
benarkah musim jualan murah ini benar-benar memberi keuntungan kepada pengguna?
Benarkah hanya ketika jualan murah saja pengguna akan dapat menikmati banyak
potongan harga untuk produk yang diingini serta barangan keperluan?
Adakah
benar wujud perbezaan ketara ketika membeli-belah di musim jualan murah jika
dibandingkan pada hari biasa? Persoalannya, berbaloi atau tidak?
Menurut
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor
Osman, sebenarnya tidak banyak perbezaan membeli ketika jualan murah atau pada
hari biasa kerana penjual lazimnya mempunyai strategi licik dalam meraih
keuntungan.
“Tiada
peniaga yang tidak mahukan keuntungan, justeru walaupun diadakan jualan murah,
mereka sebenarnya mengaut keuntungan berganda yang berpunca daripada kejahilan
pembeli.
“Perangkap
tidak pernah lupakan pelanduk tapi pelanduk yang sering lupa adanya perangkap yang
bersedia menjeratnya. Itulah juga yang sering berlaku kepada pembeli.
“Pembeli
selalu tertarik dengan gimik kempen jualan murah. Penjual pula akan cuba
mengadakan kempen yang mengelirukan hingga akhirnya pembeli `terbeli’ produk
yang tidak berkualiti, hampir luput dan seumpamanya.
“Sebenarnya,
iklan jualan murah itu mengelirukan. Selalunya produk tidak popular atau kurang
mendapat jualan yang diberi diskaun, lalu di situlah mereka menjerat
pembeli,” katanya.
Selain
itu, budaya gemar mengikut perbuatan orang lain atau `menyibuk’ turut dikenal
pasti antara faktor yang menyebabkan ramai pembeli terjerat dengan gimik jualan
murah ini.
“Masyarakat
kita suka ke tempat atau kawasan tumpuan. Lebih meriah satu-satu lokasi
beli-belah itu, lebih ramai orang yang akan mengerumuninya.
“Daripada
niat asal untuk sekadar melihat apa yang berlaku akhirnya membuatkan mereka
membeli produk yang tidak sepatutnya. Jadi di sini pentingnya teknik kawalan
diri kerana biasanya situasi seperti ini akan lebih memudaratkan poket
pembeli,” jelasnya.
Perasaan
ego dan ingin menunjuk juga menjadi punca ramai pengguna terpedaya membeli
barangan yang tidak diperlukan.
“Di
sini kita kembali kepada budaya `menyibuk’ atau kecenderungan ke lokasi
beli-belah yang penuh dan sesak.
“Apabila
ramai orang memenuhi ruang jualan dan sibuk melihat barangan, pasti terbit rasa
ego dalam diri masing-masing bahawa mereka perlu membeli barangan yang lebih
baik atau hampir sama dengan orang di sebelahnya.
“Daripada
sekadar ingin melihat dan meninjau keadaan, tangan akan mula sibuk memilih
produk seperti orang lain hingga sering berlaku perebutan atau perbalahan
sesama pembeli.
“Situasi
seperti inilah yang menjadi senjata penjual dan walau murah sekalipun harga
yang ditawarkan, pembeli akan tetap menjadi mangsa.
“Selain
itu, elakkan pujuk rayu jurujual cantik atau seksi kerana itu juga salah satu
taktik penjual untuk memerangkap pembeli,” katanya.
Justeru,
apa yang perlu dilakukan jika menjadi mangsa jualan murah ini? Aduan kepada
tribunal pengguna satu cara yang boleh dilakukan, selain meningkatkan kesedaran
mengenai hak pengguna.
“Jumlah
aduan yang diterima hampir sama dengan tahun lalu, yang mana rata-rata
melaporkan menjadi mangsa jualan murah ketika musim perayaan.
“Biasanya
harga yang ditawarkan pada jualan murah sama dengan harga pada hari biasa,
malah ada banyak kes yang mana harga ketika promosi jualan murah lebih tinggi
berbanding hari biasa.
“Tapi
disebabkan persepsi pembeli bahawa setiap barangan yang dijual ketika promosi
itu murah, mereka tidak sedar ditipu sehinggalah membeli produk itu semula pada
hari biasa.
“Di
sinilah pentingnya kesedaran dan kawalan diri demi mengelak menjadi mangsa.
Bagi saya, tabiat melihat dulu barangan (window shopping) untuk membandingkan
harga itu amat penting agar pengguna mendapatkan produk yang bukan saja
berkualiti tapi memberi nilai pada wang.
“Selama
ini pun tabiat ini dianggap terapi diri bagi wanita, jadi saya rasa tidak salah
malah menggalakkan lagi supaya pengguna mendapatkan kualiti daripada wang yang
dibelanjakan itu,” katanya.
Berikut
beberapa panduan atau tip sebelum keluar membeli-belah ketika jualan murah:
*
Sebelum keluar rumah, bincang dengan ahli keluarga atau pasangan mengenai
barangan yang hendak dibeli. Tentukan barangan keutamaan sebelum barangan
kehendak. Biasanya apabila berbincang, satu pihak pasti akan lebih rasional
dalam mengawal perbelanjaan.
*
Sentiasa buat perbandingan harga antara satu kedai dengan kedai lain.
*
Beli apabila barangan itu sudah kehabisan dan hanya sasarkan produk itu ketika
berada di kedai.
*
Jika keluar bersama rakan pejabat ketika waktu rehat, buat senarai ringkas
barangan yang hendak dibeli. Jika sekadar ingin melihat-lihat barangan, pesan
pada rakan yang tegas atau tidak mudah terpengaruh untuk mengingatkan anda
daripada membeli produk yang tidak perlu.
*
Jadikan tabiat ke pusat beli-belah sebagai aktiviti keluarga. Apabila keluar
bersama pasangan dan anak-anak, diri kurang cenderung membeli barangan yang
tidak perlu kerana perlu mengenepikan belanja untuk makan di restoran, bayaran
parkir, petrol dan seumpamanya.
*
Percaya pada gerak hati. Jika anda rasa ada yang tidak kena atau tidak
sepatutnya membeli barangan itu, segera beredar untuk mengelakkan diri terjerat
dengan pujukan jurujual.
*
Periksa harga yang ditawarkan berulang kali. Pernah berlaku kes di sebuah pusat
beli-belah popular yang mengadakan jualan murah, tanda harga sama dilekatkan di
atas pelekat asal.
*
Apabila membeli barangan keperluan sekolah ketika musim jualan murah, beli
secara borong atau dalam kuantiti yang banyak berbanding membelinya secara
berasingan atau dalam jumlah kecil.
*
Untuk mengelakkan pembelian secara melulu, tinggalkan kad kredit di rumah.
Pembelian secara tunai akan membuatkan anda berfikir beberapa kali sebelum
membeli.
*
Jangan beli produk yang sudah ada atau mempunyai fungsi yang hampir sama
seperti barangan di rumah.
*
Jika melihat sesuatu yang anda inginkan, beredar dari situ. Pergi ke kedai
lain, singgah di restoran atau bergerak ke tempat lain yang lebih jauh. Kembali
ke lokasi jualan semula jika anda masih memikirkannya atau tidak kisah berjalan
semula ke kedai terbabit.
Oleh : Nor Faizah Mohamed