KUALA LUMPUR 29 April – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) serta beberapa gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis semalam berhubung pendedahan strategi DAP untuk menggubal sebahagian Perlembagaan negara.
Aktivis PPIM, Mohd. Mustaffa Hamzah berkata, pihaknya mahu polis menjalankan siasatan berhubung pendedahan itu kerana usaha tersebut mampu mencetuskan rusuhan kaum.
“Saya meminta polis menyiasat serta memaklumkan hasil siasatan atau tindakan yang diambil mengenai dakwaan berkenaan strategi DAP ini.
“Sekiranya apa yang disuarakan itu benar, kerajaan hendaklah mengambil tindakan tegas terhadap pihak bertanggungjawab kerana apa yang menjadi harapan DAP tersebut boleh menjejaskan keharmonian negara dan hubungan baik antara kaum yang dinikmati kini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd. Mustaffa, strategi DAP itu didedahkan bekas Setiausaha Organisasi DAP Bahagian Jelutong, Mohamed Razali Abdul Rahman menerusi laman web di http://lamanizzs.blogspot.com bertarikh 5 Mei tahun lalu.