733) Berita Terkini:Gabungan NGO Islam ajak boikot produk pentingkan keuntungan
14 May 2013
Oleh MOHD. HAZLI HASSAN
KUALA LUMPUR 14 Mei – Lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam mahu rakyat negara ini memboikot beberapa produk yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata.
Jurucakap NGO berkenaan, Datuk Nadzim Johan berkata, mereka bukan mahu bersifat rasis memboikot produk-produk berkenaan, namun sudah sampai masanya rakyat sedar dan bangkit.
Kebanyakan produk yang diboikot itu, kata Nadzim, turut tidak selamat untuk dimakan dan ini tidak disedari masyarakat.
“Selama 50 tahun sebagai contoh, kerajaan memberi monopoli kepada sebuah syarikat yang membekalkan tepung, namun selepas diberi kepada syarikat Melayu/Islam, mereka kata mereka dianiaya.
“Adakah mereka dianiaya? Selama selepas merdeka siapa yang kaya? Bukan Melayu yang kaya, namun kita tidak pernah mempersoalkannya. Kenapa bangsa lain nak mempersoalkannya pula?” dakwanya dalam satu sidang akhbar di Jalan Tun Ismail di sini hari ini.
Dalam pada itu, Nadzim berkata, pemboikotan yang dilakukan terhadap beberapa produk itu juga mengambil kira kepentingan kesihatan rakyat negara ini.
“Ada produk yang kita kesan mempunyai kimia yang boleh merosakkan kesihatan dan tidak ramai yang tahu mengenai perkara berkenaan,” katanya.
Setakat ini, ada lima produk yang akan diboikot oleh gabungan NGO Islam dan akan ditambah dari semasa ke semasa.
Senarai penuh produk yang diboikot oleh NGO-NGO Islam itu boleh didapati dengan melayari laman web Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di http://www.ppim.org.my
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130514/dn_30/Gabungan-NGO-Islam-ajak-boikot-produk-pentingkan-keuntungan#ixzz2THHhaNDg
© Utusan Melayu (M) Bhd
Post Views: 207