Kuala Lumpur:
Beberapa isu berkaitan agama yang digunakan pemimpin pembangkang sepanjang
kempen dalam Pilihan Raya umum Ke-13 (PRU-13) baru-baru ini dikhuatiri memberi
ancaman kepada perpaduan serta penyatuan umat Islam khususnya dalam konteks negara
ini.
Pandangan itu
disuarakan Gabungan 83 NGO Islam yang berpendapat ia tidak sewajarnya dijadikan
modal politik untuk meraih undi semata-mata kerana membabitkan akidah selain
boleh menimbulkan kekeliruan dan memberikan gambaran tidak tepat mengenai
Islam.
Ketua Aktivis
Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan berkata, hasil
perbincangan antara gabungan mendapati antara isu dibangkitkan ialah penggunaan
kalimah Allah yang ditimbulkan pakatan pembangkang biarpun berlaku percanggahan
antara mereka.
Selain itu katanya,
tindakan pemimpin bukan Islam melafazkan ucapan insya-Allah, memberi salam
serta membaca al-Quran serta terjemahan boleh menimbulkan kesangsian kerana
dibimbangi jika tidak dikawal sekaligus membawa penghinaan terhadap kitab suci
itu.
Kita juga dapati ada
isu lama seperti hubungan antara PAS dengan DAP di mana salah satu daripadanya
menyokong penubuhan negara Islam manakala di satu pihak lagi, menolak
pembentukan negara dengan hukum Islam.