746) MUKA HADAPAN UTUSAN MALAYSIA 25 MEI 2013-Sekat sebelum parah
25 May 2013
KUALA LUMPUR 24 Mei – Kerajaan digesa
lebih tegas memerangi anasir-anasir jahat di laman siber terutama berhubung
kewujudan Red Bean Army yang mengugat keharmonian rakyat berbilang kaum di
negara ini.
Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
turut mendesak pihak berwajib untuk meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
bagi menyekat fitnah dan hasutan yang cuba dipromosikan kumpulan berkaitan DAP
itu terhadap rakyat.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam
Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kewujudan Red
Bean Army itu dikesan oleh pihaknya pada tahun 2011 apabila jentera
propaganda bersifat cauvinis tersebut cuba melahirkan simpati terhadap Tan Sri
Robert Kuok yang tidak lagi memonopoli perniagaan gula di negara ini.
Menurut beliau, sentimen perkauman yang
mulanya disasarkan kepada usahawan bumiputera dan pengasas Yayasan Al-Bukhary,
Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary kemudian diperluaskan kepada pemimpin UMNO
terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“PPIM sudah lama menyiasat ancaman Red
Bean Army terhadap permuafakatan masyarakat di negara ini yang mana
pelbagai fitnah dan lakonan dilakukan mereka untuk mengelirukan rakyat terutama
masyarakat Cina.
“Mereka bukan sahaja digerakkan oleh
sentimen perkauman yang tebal tetapi dilihat seperti sebuah gerakan terancang
untuk menggulingkan pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang ditunjang oleh
orang Melayu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di
sini hari ini.
Nadzim menegaskan, pasukan serangan siber
dipercayai ditaja DAP itu perlu dihalang daripada terus menghasut pemikiran
rakyat melalui penguatkuasaan lebih tegas oleh Suruhanjaya Komunikasi
Multimedia Malaysia (SKMM).
“Kita kena tegas kerana fitnah
kumpulan ini boleh menyebabkan masyarakat negara ini yang tidak matang
terkeliru dengan fakta-fakta yang salah dan yang lebih buruk lagi, ancaman puak
ini dapat menganggu-gugat kemakmuran,” tegasnya.
Sementara itu, Presiden Suara Anak Muda
1Malaysia, Armand Azha Abu Hanifah berkata, sekiranya fitnah Red
Bean Army dibiarkan berleluasa, dikhuatiri perpaduan rakyat sejak 55
tahun akan musnah.
“Tidak pernah lagi perpaduan kaum di
negara ini menjadi seburuk ini apabila orang Cina sudah berani memainkan
sentimen perkauman yang sempit, semua ini berikutan kebebasan kumpulan pro-DAP
ini di medan siber.
“Keberanian mereka ini sangat
menakutkan sehingga sanggup mempermain dan memperlekehkan isu melibatkan agama
Islam, hak istimewa orang Melayu serta bahasa Melayu,” katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Gabungan
Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd. Isa mahu
pembuat fitnah tersebut dipantau secara progresif melalui peruntukan
undang-undang.
Meskipun kebebasan internet tiada
batasannya, beliau menjelaskan, masih ada ruang untuk menghukum mereka di bawah
Akta Hasutan agar ancaman sebegitu tidak berleluasa dan menghancurkan keamanan
dikecapi negara kini.
“Seperti di China, kerajaan republik
itu menyekat Facebook, perkara ini walaupun mereka hanya terdiri daripada satu
kaum, mungkin kita perlu ke arah itu agar tidak timbul suasana yang tidak sihat
dalam aspek perpaduan rakyat di Malaysia,” katanya.
Post Views: 191