761) BERITA HARIAN 10 JUN 2013-Bersatu pertahan Islam
10 Jun 2013
Keadaan semasa punca
segelintir biadab di laman sosial
Kuala Lumpur:
Tindakan sesetengah golongan yang berani mencerca dan menghina Islam menerusi
laman sosial adalah kerana mereka melihat umat Islam tidak bersatu
mempertahankan kesucian agama.
Justeru, tindakan
golongan itu boleh dihentikan jika umat Islam kembali bersatu dan lebih komited
untuk mempertahankan agama.
Sepatutnya rakyat
Malaysia faham sensitiviti kaum dan agama. Kita contohi Singapura dan Thailand
yang tegas menghukum individu yang menghina Perlembagaan negara” Nadzim Johan,
Ketua Aktivis PPIM
Ketua Aktivis
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan (gambar kecil),
berkata keadaan sekarang yang menggambarkan seolah-olah umat Islam
berpecah-belah dan tidak sehaluan menjadi punca keberanian golongan terbabit
menghina agama Islam melalui laman sosial.
Katanya, muafakat
dan hubungan utuh umat Islam boleh mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab
mencerca dan memandang rendah terhadap agama Islam.
“Jika umat Islam
hilang integriti dan maruah serta membenarkan pihak lain memperalatkan mereka,
akhirnya Islam tidak lagi dipandang tinggi dan menjadi contoh.
Sensitiviti kaum
“Sepatutnya, setiap
rakyat Malaysia tahu dan faham sensitiviti semua kaum dan agama yang ada di
negara ini. Keadaan ini boleh mengganggu-gugat keharmonian negara,” katanya.
Beliau diminta
mengulas tindakan seorang pemegang akaun Facebook, menggunakan nama ‘Programmer
Calvin Gani’ yang membuat penghinaan melampau terhadap Nabi Muhammad SAW.
Minggu lalu, seorang
wanita pemilik akaun Facebook berusia 32 tahun ditahan mengikut Seksyen 4(1)
Akta Hasutan selepas didapati menghina Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul
Halim Mu’adzam Shah pada 1 Jun lalu.
KDN diminta tegas
Sementara itu,
Nadzim berkata, satu perhimpunan membabitkan semua pertubuhan bukan kerajaan
(NGO) memperjuangkan Islam akan diadakan pada Rabu atau Khamis ini bagi
mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Komunikasi dan Multimedia
serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan
tegas terhadap individu yang dianggap ‘buta hati’ itu.
“Pihak berkuasa
perlu mencontohi Singapura dan Thailand. Mereka tegas menghukum mana-mana warga
negara yang menghina Perlembagaan negara sendiri,” katanya.
Post Views: 170