Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
785) ARTIKEL PILIHAN : Sekolah satu aliran tak rugikan sesiapa
21 Jun 2013

(ARKIB BERITA HARIAN 8 NOVEMBER 2009)
Byline / Author:
Oleh Teo Kok Seong
DALAM masyarakat
majmuk seperti Malaysia, pendidikan perlu dilihat sebagai lebih daripada
mendidik anak-anak. Ia perlu dilihat sebagai kuasa yang mampu mewujudkan
integrasi, khususnya perpaduan kaum. Dengan perkataan lain, pendidikan adalah
penting sekali dalam pembentukan bangsa Malaysia.
Dalam konteks ini,
tidak dapat dinafikan bahawa sekolah adalah institusi terbaik memupuk perpaduan
dalam kalangan golongan muda.
Malaysia sentiasa
sedar mengenai kepentingan sekolah dalam hal ini. Inilah juga aspirasi utama
pada Penyata Razak (1956). Tetapi malangnya, hasrat semurni ini tidak
mencukupi, kalau kita sebagai golongan tua tidak benar-benar berusaha ke arah
itu.
Hari ini, golongan
muda didapati tidak banyak bergaul dengan mereka daripada kelompok etnik lain
dan lebih mudarat lagi, mereka tidak mempunyai keinginan untuk bergaul dalam
konteks ini.
Ini antaranya
disebabkan ibu bapa mereka menyekolahkan mereka di sekolah yang pelajarnya
terdiri daripada hanya satu kelompok etnik.
Gejala tidak bergaul
ini berlarutan sehingga ke institusi pengajian tinggi dan juga tempat kerja.
Sehubungan itu, pada masa kini, polarisasi kaum dapat dilihat di mana-mana
saja.
Sudah tiba masa
dengan mengambil semangat konsep 1Malaysia, kita perkasakan peranan pemersatu
pada sekolah dan institusi pengajian yang lain.
Dari segi pendidikan
semata-mata, sekolah kita rata-ratanya berjaya menghasilkan pelajar yang bijak
pandai tetapi apa ertinya anak kita pintar, kalau mereka tidak boleh bersatu.
Satu cara terbaik
mengatasi masalah ini ialah dengan mengadakan sistem satu sekolah atau satu
aliran. Ia terbukti lebih berjaya dalam pembentukan negara-bangsa mana-mana
masyarakat mengamalkannya, lebih-lebih lagi dalam pembinaan jati diri nasional
yang sama serta jelas sifat nasionalnya, dalam kalangan semua sektor
masyarakat.
Liberalisasi dalam
bidang pendidikan di negara ini, bukan saja membenarkan persekolahan vernakular
dan agama, tetapi ikut meluluskan kewujudan sekolah swasta, sekolah
antarabangsa (yang ikut dihadiri rakyat Malaysia) dan lain-lain.
Kita juga
membenarkan anak-anak diajar secara persendirian di rumah, yang sudah tentu
tidak memungkinkan pergaulan antara kaum wujud dalam bentuk yang unggul.
Sistem yang
membenarkan pelbagai jenis persekolahan ini nampaknya tidak berjaya menyatukan
kita semua.
Kita harus menerima
hakikat ini untuk kepentingan negara, dan tidak boleh lagi mempertahankannya.
Ini antaranya adalah kerana ia hanya memecahbelahkan kita semua.
Perpaduan perlu
dipupuk pada usia yang muda, seperti kata pepatah Melayu, ‘melentur buluh biar
dari rebung’. Sewaktu di sekolah rendah lagi, anak-anak perlu bergaul dengan
sebebas-bebasnya dan ini bukan saja untuk mengenali satu sama lain, tetapi yang
lebih penting belajar menghormati dan mempercayai mereka yang berlainan bangsa
dan agama.
Tidak seorang pun
yang boleh memahami dan kemudian menerima untuk dihargai budaya, agama dan
bahasa kelompok etnik lain, kalau dia tidak pernah mengenali kelompok
berkenaan. Inilah yang dikatakan oleh pepatah Melayu, tak kenal maka tak cinta.
Sehubungan ini, kita
perlu terlebih dulu kenal-mengenali, sebelum elemen hubungan etnik lain berlaku
secara positif dalam konteks perpaduan kaum di negara ini.
Justeru,
bagaimanakah anak kita boleh mengenali, memahami dan menerima untuk dihargai
pelbagai perbezaan yang wujud antara kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain,
kalau mereka tidak pernah mempunyai peluang bergaul, lebih-lebih lagi pada usia
muda.
Sesungguhnya, anak
kecil ini boleh dengan cepat, bukan saja bergaul dengan baik, malah mampu
memanfaatkan perbezaan antara mereka, untuk kebaikan bersama pada mulanya, dan
kepentingan negara kemudiannya.
Malangnya, kita
selaku golongan tua tidak mahu mewujudkan peluang ini pada peringkat sekolah
rendah. Apabila bertemu di sekolah menengah, kebanyakan anak ini sudah pun
membentuk pelbagai persepsi, sikap dan buruk sangka, terhadap mereka yang tidak
sebangsa dan seagama dengan mereka.
Perasaan curiga-mencurigai
yang kuat sudah pun tertanam dan sukar dikikis, akibat sistem yang lemah ini,
selain ikut diracuni pemikiran tertutup daripada sesetengah golongan tua.
Ada anak kita yang
tidak pun berpeluang bertemu dengan anak daripada kelompok etnik lain di
sekolah menengah dan ini kerana mereka meneruskan persekolahan di puluhan
sekolah persendirian di negara ini.
Ini berlaku pada
anak Cina, yang kemudian ke China, Taiwan atau Hong Kong, untuk memperoleh
pendidikan pengajian tinggi dalam bahasa Cina.
Golongan tua perlu
menyedari bahawa sistem pelbagai sekolah ini, lebih-lebih lagi yang bersifat
persendirian/swasta, tidak menyumbang kepada pembentukan negara-bangsa
Malaysia, dalam banyak aspek. Malah sistem pelbagai sekolah ini memecahbelahkan
negara.
Sehubungan itu,
marilah kita mencari jalan terbaik dengan tekad baru 1Malaysia, untuk
mewujudkan sistem satu sekolah, yang menggunakan bahasa kebangsaan kita sebagai
satu-satunya bahasa pengantar, semata-mata untuk penyatuan generasi mendatang,
dan sekali gus demi kepentingan negara.
Tugas ini tidak
mudah seperti yang diakui oleh banyak pihak. Namun, ia boleh menjadi kenyataan,
mungkin dalam waktu terdekat ini, seperti kata pepatah Melayu, `nak seribu
daya, tak nak seribu dalih’.
Kita boleh bermula
dengan menerimanya, untuk diperhalusi kebaikan semua pihak, khususnya mengenai
pendidikan bahasa ibunda yang dikhuatiri akan lenyap apabila dilaksanakan
sistem satu sekolah.
Ia masih boleh
diteruskan, bukan lagi dalam bentuk sekarang, tetapi dalam bentuk sebagai hanya
satu subjek. Melalui cara ini, budaya dan warisan serta komponen sistem
kepercayaan kaum tertentu, masih boleh dipertahankan dalam bentuk yang utuh.
Pengorbanan daripada
pihak berkenaan dalam hal ini, bukan saja amat diperlukan, malah sangat disanjungi
sepanjang sejarah Malaysia moden!. Mekanisme untuk sistem satu sekolah sudah
ada, iaitu dalam bentuk ribuan sekolah kebangsaan di segenap pelosok negara.
Kita hanya perlu
memanfaatkan sekolah ini agar ia bukan saja perkasa, tetapi menarik dari segi imej
nasionalnya, untuk dihadiri oleh pelajar Cina dan India yang kebanyakannya
belajar di sekolah vernakular, dan juga sebilangan pelajar Melayu yang memilih
untuk menimba ilmu di sekolah agama.
Akhir kalam, semua
pihak harus meyakini sistem satu sekolah ini sebagai hasrat murni lagi khalis,
untuk menyatukan anak kita demi pembentukan bangsa Malaysia yang betul-betul
bersatu, dalam Malaysia menghadapi pelbagai cabaran, khususnya dari luar. Ia
bukan sekali-kali niat buruk mana-mana pihak untuk melenyapkan budaya, agama
dan bahasa kelompok etnik tertentu.

* Penulis ialah Felo
Penyelidik Utama di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti
Kebangsaan Malaysia.