796) UTUSAN MALAYSIA 28/6/13-Ambil tindakan premis enggan guna bahasa Melayu
28 Jun 2013
KUALA LUMPUR 27 Jun
– Pihak berkuasa tempatan digesa mengenakan tindakan terhadap premis perniagaan
yang enggan menggunakan bahasa Melayu pada papan tanda perniagaan mereka.
Ketua Aktivis
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, penekanan
lebih serius perlu dilakukan demi memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan yang telah sekian lama menjadi penghubung antara kaum di negara ini.
Menurut beliau, jika
dibiarkan, ditakuti bahasa kebangsaan akan menjadi semakin layu dan seterusnya
tenggelam dalam era globalisasi masa kini.
“Segala hal
rasmi melibatkan pihak berkuasa tempatan wajib menggunakan bahasa Melayu, namun
persoalannya, adakah kewajipan itu tidak diamalkan semasa pendaftaran premis
perniagaan yang dilakukan oleh peniaga?
“Ini jelas
menunjukkan penguatkuasaan terhadap penggunaan bahasa Melayu lemah dan kami
menyeru kepada pihak berkuasa supaya sedar dan ambil tindakan khusus bagi
menjamin kedudukan bahasa kebangsaan di tanah air ini,” katanya dalam
sidang akhbar di sini hari ini.
Tambah Nadzim, Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP) juga bertanggungjawab dalam mengekalkan bahasa
tersebut seiring dengan peranan mereka sebagai pusat rujukan bahasa Melayu yang
dihormati.
“Penggunaan
bahasa Melayu harus konsisten dengan pembangunan negara ini. Saya tidak mahu
Malaysia dianggap sama seperti negara lain yang mana penggunaan bahasa di papan
tanda tidak diselaraskan,” katanya
Sementara itu,
Presiden Kelab Wartawan Muda Malaysia (KWMM), Dzulkarnain Taib menegaskan,
penggunaan bahasa Melayu dalam semua aspek memerlukan campur tangan pihak
berkuasa supaya penguatkuasaan undang-undang dapat dilaksanakan.
Jelasnya, pihak
berkuasa turut diminta supaya tidak mudah akur dengan kehendak para peniaga
yang hanya memandang remeh tentang penggunaan bahasa kebangsaan untuk premis
perniagaan mereka.
“Kita mesti
bertindak tegas dalam hal ini kerana tanggungjawab memperkasakan bahasa Melayu
terletak pada bahu seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Artikel Penuh:
http://202.190.126.82/utusan/Dalam_Negeri/20130628/dn_18/Ambil-tindakan-premis-enggan-guna-bahasa-Melayu#ixzz2XUUw3pU3
© Utusan Melayu (M) Bhd
Post Views: 142