Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
8 LAGI NGO GESA HAPUS TAWAR-MENAWAR TAMBANG E-HAILING – BERITA HARIAN – 31/12/2025
02 Jan 2026

KUALA LUMPUR: Lapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan industri gig menyokong gesaan supaya sistem tambang e-hailing berasaskan tawar-menawar dihapuskan dan mendesak kerajaan menetapkan kadar tambang lantai untuk perkhidmatan itu.

Dalam kenyataan bersama, Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) dan tujuh lagi NGO berkata, kewujudan syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing (EHO) yang beroperasi dengan sistem itu memberi kesan negatif kepada pemandu lain.

“Apabila tawar-menawar dibenarkan, mahu tak mahu, EHO lain terpaksa bersaing menurunkan harga tambang hingga menyebabkan seluruh pemandu e-hailing menerima kesan.

“Persaingan dalam industri sememangnya akan dijadikan alasan sebagai menguntungkan pengguna, namun kerajaan sepatutnya turut melihat kesan terhadap pemandu e-hailing.

“Tiada keseimbangan dalam dasar kerajaan memastikan pengguna dan pemandu e-hailing menerima manfaat yang munasabah terutama ketika kos sara hidup semakin meningkat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain Penghantar, gesaan sama disuarakan Pertubuhan Lestari Ekonomi Aktivis GiG Digital Malaysia (Lead), Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia (PPRPM) dan Pertubuhan Tenaga GiG Melaka (TENAGA GiG).

Empat lagi NGO yang sependapat menyuarakan hal sama adalah Persatuan Rakan Penghantar Melaka (RPM), Persatuan Penghantar dan Penghantar E-Hailing Sabah (PENS), Persatuan Kebajikan Perkhidmatan Penghantar Bermotosikal Perak (PKPPBP) dan Persatuan Rakan Penghantar Kedah (RPK) .

Sebelum ini, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendesak Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) supaya menghapuskan sistem kadar tambang secara tawar-menawar dalam industri e-hailing.

Menurut PPIM, gesaan itu bertujuan menjaga kebajikan dan kelangsungan pendapatan pemandu e-hailing.

Artikel oleh: Berita Harian

8 LAGI NGO GESA HAPUS TAWAR-MENAWAR TAMBANG E-HAILING

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/12/1491285/8-lagi-ngo-gesa-hapus-tawar-menawar-tambang-e-hailing