801) MUKA DEPAN BERITA HARIAN 1/7/13-`Buka tudung, boleh kerja’
01 Jul 2013
Byline / Author:
Oleh Muhammad Mustakim Ramli; Siti Sofia Md Nasir
Kuala Lumpur:
Sesetengah syarikat di ibu negara didakwa mengamalkan diskriminasi terhadap
wanita Islam apabila mensyaratkan mereka yang ingin bekerja membuka tudung dan
memakai skirt.
Hak individu
Dasar ditetapkan
syarikat itu jelas bertentangan dengan Perlembagaan negara yang menetapkan
bahawa setiap individu mempunyai hak menyatakan dan menjalankan agama
masing-masing serta menghormati agama Islam sebagai agama rasmi negara ini.
Ketua Aktivis
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata pihaknya
menerima aduan mengenai masalah itu setiap bulan dan lebih mengecewakan ada
syarikat terus mengamalkan dasar berkenaan walaupun diberi teguran.
Beliau mendakwa
sebuah rangkaian kedai foto cuba mengaburi pandangan orang ramai dengan
membenarkan pekerja yang berurusan dengan pelanggan untuk berpakaian sopan dan
memakai tudung, sebaliknya petugas di bahagian pentadbiran dipaksa membuka
tudung.
“Kita menerima
aduan daripada beberapa individu yang menghadiri temu duga di syarikat
berkenaan. Jika mereka tidak mengadu, mungkin kita tidak mengetahui syarikat
ini terus menindas pekerja Muslim di negara ini.
“Pengadu juga
bagaikan tertipu dengan iklan jawatan kosong di luar premis yang ditawarkan
pihak terbabit yang memaparkan pekerja wanita bertudung,” katanya kepada
BH, baru-baru ini.
Terima aduan
Nadzim berkata,
pihaknya turut menerima aduan sama membabitkan sebuah gedung beli-belah di sini
serta kolej swasta di Petaling Jaya yang tidak membenarkan pekerja memakai
tudung pada satu majlis kolej berkenaan.
“Tindakan ini
bertentangan dengan konsep 1Malaysia yang berteraskan kepentingan perpaduan
tanpa mengira bangsa atau kepercayaan agama yang diusahakan oleh Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak,” katanya.
Nadzim berkata,
lebih dikesalkan ada wanita Islam yang terdesak untuk memperoleh pekerjaan terpaksa
menggadai akidah dan pegangan apabila bersetuju dengan syarat sebegitu dengan
menanggalkan tudung sewaktu bekerja dan memakainya semula selepas habis
bekerja.
Headline: Pengalaman wartawan BH
Kuala Lumpur: Wartawan BH melakukan penyamaran sebagai
pencari kerja di salah satu rangkaian kedai foto di ibu negara, baru-baru ini.
Wartawan yang memohon jawatan sebagai kerani mendapati
semua kakitangan wanita beragama Islam di kedai foto itu memakai skirt dan
tidak bertudung.
Kehadiran wartawan yang lengkap bertudung juga tidak
disenangi kakitangan di situ apabila mereka terus memberi amaran mengenai
‘dasar’ syarikat itu ketika menyerahkan borang permohonan kerja.
Apabila ditemuduga oleh Pengarah Sumber Manusianya
syarikat itu, wartawan cuba untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai
‘dasar’ namun beliau enggan melayan pertanyaan berkenaan.
“Jika mahu bekerja di sini, awak perlu membuka
tudung dan memakai skirt. Itu dasar syarikat. Tiada kompromi,” katanya.
Sementara itu, Penasihat Majlis Agama Islam Johor
(MAIJ), Datuk Noh Gadut menyeru Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan
kementerian berkaitan untuk duduk semeja dan mencari penyelesaian isu
berkenaan.
Wujud akta khusus
Beliau berkata, sudah tiba masanya undang-undang
khusus diwujudkan untuk mengelakkan daripada ia terus berulang dan mencemarkan
imej Islam.
“Undang-undang sedia ada hanya dilaksanakan
kepada orang Islam tetapi tidak dikuatkuasakan kepada bukan Islam.
“Bertudung dan menutup aurat tidak akan mengurangkan
produktiviti kerja. Justeru majikan tidak perlu takut dan menjadikannya sebagai
alasan untuk menafikan hak mereka,” katanya kepada BH.
Noh yang juga bekas Mufti Johor turut menasihati
golongan terbabit dengan permasalahan itu agar mencari pekerjaan lain yang
lebih sesuai dan berkat.
INFO
AKTA 559
– Bahagian III – Kesalahan yang berhubungan dengan
kesucian agama Islam dan institusinya.
– Seksyen 7 – Menghina, atau menyebabkan dipandang
hina.
– Mana-mana orang yang secara lisan atau secara
bertulis atau dengan gambaran yang tampak atau dengan apa-apa cara lain:
– (a) menghina agama Islam atau menyebabkan Islam
dipandang hina.
– (b) mempersendakan, mengajuk-ajuk atau mencemuh
amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam; atau
– (c) mempersendakan atau menyebabkan dipandang hina
mana-mana undang-undang yang sedang berkuat kuasa di Wilayah Persekutuan yang
berhubungan dengan agama Islam.
– Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda maksimum
RM3,000 atau dipenjarakan dua tahun atau kedua-duanya.
Headline: Diarah buka
tudung sebelum temu duga
Kuala Lumpur: Mangsa
yang mahu dikenali sebagai Nora berkata, beliau dihubungi oleh kakitangan
sebuah kedai rangkaian foto di Gombak, di sini untuk ditemuduga selepas memohon
jawatan sebagai kerani pada pertengahan Jun lalu.
Katanya, sebelum
melangkah masuk ke bilik temu duga berkenaan, dia dimaklumkan oleh seorang
pekerja di situ supaya tidak terkejut sekiranya diminta menanggalkan tudung
untuk bekerja.
“Dia perasan
saya pelik dengan kenyataan itu dan menjelaskan sekiranya dia tidak
memaklumkannya kepada saya, dia akan dimarahi pengurus kerana tidak memberitahu
perkara berkenaan terlebih dulu.
“Saya juga
dimaklumkan oleh pekerja itu seorang wanita bertudung yang terpaksa membuka
tudung ketika bekerja dan akan memakai semula selepas tamat waktu bekerja
kerana desakan hidup untuk menyara keluarga,” katanya kepada BH, baru-baru
ini.
Minta tanggal tudung
Nora berkata,
walaupun kecewa dia teruskan sesi temu duga itu untuk memastikan kata-kata
pekerja itu benar dan ketika ditemuduga ternyata dia diminta untuk menanggalkan
tudung serta memakai skirt hari tertentu.
Sementara itu,
seorang lagi mangsa diskriminasi, mahu dikenali sebagai Aein ketika dihubungi
BH, berkata dia menerima tawaran sebagai jurujual di salah satu gedung di Suria
KLCC pada Februari lalu.
Kena ikut dasar
“Ketika
ditemuduga kakitangan premis itu meminta saya membuka tudung atas alasan ia
sebahagian dasar yang perlu dipatuhi pekerja.
“Saya tidak
menunggu lama di situ dan menolak jawatan berkenaan yang jelas bertentangan
dengan agama,” katanya.
Post Views: 139