863) HARIAN METRO 13/8/13 : ‘Apa salah kami’
25 Aug 2013
Kuala Lumpur:
“Kami hanya ingin menjual pek permulaan prabayar di situ, tiba-tiba saja pengawal
keselamatan itu memaki hamun sebelum memukul salah seorang daripada kami
mengakibatkan cedera di kepala.
“Akibatnya kami
bimbang keselamatan kerana diburu sekumpulan lelaki selepas berlaku
pertengkaran, minggu lalu,” kata Norman, seorang daripada sembilan remaja
yang terbabit dalam perselisihan faham dengan pengawal keselamatan sebuah
kawasan pembinaan di Shah Alam.
Menurutnya, mereka
tiba di kawasan itu untuk menjual set talian berkenaan kepada pekerja warga
Indonesia sebelum didatangi dua pengawal keselamatan sebelum berlaku
pertengkaran.
Norman berkata, dia
dan rakan pergi ke kawasan berkenaan berjumpa kumpulan pekerja terbabit sebelum
dihalau meninggalkan tempat itu.
Katanya, ketika
bergegas keluar, kereta yang mereka naiki dihalang sebelum seorang lelaki
menumbuk seorang rakannya hingga luka di kepala.
“Kejadian tidak
berakhir di situ apabila mereka datang ke kedai dan berjumpa pengurus kami lalu
mengugut membalas dendam. Biarpun pengurus saya menawarkan sejumlah wang, namun
dia tetap mahu bersemuka menyebabkan kami rasa terancam,” katanya ketika
membuat aduan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini, semalam.
Katanya, tidak cukup
dengan itu, lelaki terbabit turut mendakwa mereka melarikan seutas jam tangan
dan rantai bernilai RM25,000 ketika pertengkaran, sedangkan mereka langsung
tidak tahu menahu.
“Bimbang
dicederakan, saya meminta bantuan PPIM kerana mereka mengugut mencederakan kami
untuk membalas dendam,” katanya.
Sementara itu, Ketua
Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya sudah merujuk perkara itu
kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Hadi Ho Abdullah
untuk tindakan lanjut serta membawa remaja berkenaan membuat laporan di Balai
Polis Shah Alam.
Post Views: 173